Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu memastikan bahawa Barisan Nasional (BN) adalah sepopular beliau untuk memastikan kemenangan besar untuk parti itu pada pilihan raya umum akan datang.

Tokoh Wartawan Negara 2011, Datuk A. Kadir Jasin berkata ini kerana dalam sistem kenegaraan kita, rakyat tidak memilih presiden tetapi kita memilih sebuah kerajaan.

Kadir berkata populariti Najib sememangnya tidak dapat dinafikan ketika ini.

“Ramai orang memberitahu saya yang Najib seorang yang cukup popular. Orang memberitahu saya apabila beliau turun padang, ramai yang turut hadir ke tempat itu. Ramai yang akan datang untuk mendengar ucapannya.

“Beliau juga mempunyai ramai pengikut di laman Twitter. Beliau mempunyai ramai kawan di Facebook dan beliau mempunyai blog sendiri.

“Pemimpin parti yang popular dan berpengaruh adalah sesuatu yang baik. Namun demikian, beliau juga harus memastikan bahawa partinya juga adalah sepupular beliau. Jadi, soalnya sekarang ialah adakah perdana menteri dan partinyasama popular?” kata Kadir kepada Astro Awani.