KUALA LUMPUR: “The moment (Disaat) Parlimen dibubarkan, kita tidak lagi bersama dengan mereka (Kerajaan Perpaduan).”
Demikian penegasan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai tempoh komitmen parti itu bersama Kerajaan Perpaduan yang akan berakhir apabila Parlimen ke-15 dibubarkan.
Menurut Ahmad Zahid, BN telah membuat keputusan untuk bersama Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan akan kekal dengan komitmen itu sehingga tamat penggal.
“Dalam keadaan kompleks, kita mahu satu kompas tetap. BN buat keputusan bersama kerajaan selepas PRU15, komitmen kita tetap berada di dalam kerajaan sehingga tamat penggal ke-15.
“Ketika Parlimen dibubarkan, kita tidak lagi bersama dengan mereka. Ini janji kita,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Perhimpunan Agung Tahunan Ke-18 Parti Makkal Sakti Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Jelasnya, komitmen itu merupakan janji BN kepada Yang di-Pertuan Agong dan telah termeterai menerusi pembentukan Kerajaan Perpaduan.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid menegaskan kerjasama dalam kerajaan tidak bermakna BN menyerahkan identitinya atau berhenti mempunyai pendirian sendiri.
Menurutnya, kerjasama berkenaan adalah di peringkat nasional, manakala pendekatan politik di setiap negeri tidak semestinya sama.
Beliau mengambil contoh Johor apabila BN memilih untuk bertanding sendiri dalam pilihan raya negeri meskipun bekerjasama dengan parti lain di peringkat Persekutuan.
“Inilah yang saya sebut sebagai politik dua tingkap. Di peringkat Persekutuan atau nasional ada tanggungjawabnya dan di peringkat negeri pula ada realiti politiknya,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan perkembangan politik di Negeri Sembilan tidak akan mengubah komitmen BN terhadap Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.