Skip to main content

Politik

10 ADUN BN-PN dilantik Exco, terajui pentadbiran Negeri Sembilan

 Taq Exco Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, pelantikan, Credit Astro AWANI
Pelantikan itu sekali gus mengesahkan pembentukan kerajaan BN-PN buat julung kalinya di negeri ini. - Foto Astro AWANI
Advertisement

KUALA PILAH: Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan hari ini mencipta sejarah politik baharu apabila menyaksikan gabungan pertama kali bagi dua blok politik utama, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) rasmi mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, di Balairung Seri Istana Besar Seri Menanti, di sini hari ini.

Barisan Exco penggal baharu ini mencuri tumpuan ramai ekoran pelantikan dua ADUN PN iaitu Mohd Fairuz Mohd Isa (Adun Serting) yang juga Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan dan Datuk Razali Abu Samah (ADUN Sikamat).

Pelantikan itu sekali gus mengesahkan pembentukan kerajaan BN-PN buat julung kalinya di negeri ini.

Exco yang dipilih ialah Suhaimizan Bizar (Gemencheh), Datuk Zaifulbahri Idris (Chembong), Datuk Mohd Razi Mohd Ali (Sungai Lui), Siow Kong Choon (Chennah) dan Datuk Mohd Asna Amin (Lenggeng).

Turut melengkapkan senarai 10 Exco ialah Siti Nur Umairah Hasim (Labu) serta dua Adun yang dilantik semula sebagai Exco Datuk Mustapha Nagoor (Palong) dan Datuk Mohd Faizal Ramli (Linggi).

Majlis penuh adat istiadat Diraja yang bermula jam 10 pagi itu turut dihadiri oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim serta beberapa ADUN Pakatan Harapan (PH) yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) minggu lalu.

Turut hadir sama ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Ahad lalu, Ismail yang juga ADUN Juasseh mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan ke-9 di Balairung Seri Istana Besar Seri Menanti bagi penggal pertama.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Sabtu lalu, Ismail mengekalkan penguasaan BN di DUN Juasseh dan diumum menang dengan majoriti 4,323 undi menewaskan Mohd Zuhaimi Md Yusof (Bersatu) dan Mohd Aidil Abdullah (PH).

BN dengan kerjasama Perikatan Nasional (PN) berjaya membentuk kerajaan negeri yang baharu di Negeri Sembilan selepas meraih majoriti mudah  25 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Keputusan itu menyaksikan BN memperoleh 18 kerusi DUN, manakala Perikatan Nasional (PN) mendapat 11 kerusi, sekali gus membolehkan dua gabungan itu membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.
 

Must Watch Video

Advertisement