KUALA LUMPUR: Tiga ahli Barisan Nasional (BN) memfailkan permohonan untuk mencabar kelulusan Menteri Dalam Negeri berhubung usul tambahan UMNO yang tidak mempertandingkan dua jawatan utama dalam pemilihan parti itu, di Mahkamah Tinggi di sini pada 15 Mei lalu.

Ahli UMNO cawangan Kampung Bukit C2 Lembah Pantai, Satarriah Abdul Karim dan Zaidi Abdul Majid serta ahli MIC Lembah Pantai, P Vellasamy mengemukakan permohonan berkenaan, untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman berhubung perkara terbabit.

Mereka selaku pemohon memfailkan perkara ini menerusi Tetuan Rohaina & Co dengan menamakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Kerajaan Malaysia, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dan UMNO selaku responden pertama hingga keempat.

Menerusi dokumen itu, tiga ahli politik itu memohon untuk mendapatkan perintah certiorari untuk membatalkan kelulusan menteri itu pada 7 Mac lalu yang mengecualikan UMNO daripada mematuhi Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 menurut peruntukan Seksyen 70 akta sama.

Pemohon turut berharap deklarasi bahawa surat RoS bertarikh 3 Mac lalu, bahawa usul tambahan UMNO yang diputuskan di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 adalah tidak teratur, tidak sah dan bertentangan perlembagaan parti.

Ia turut menyentuh deklarasi supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO dipertandingan dalam masa 30 hari dari tarikh penghakiman.

Menurut dokumen itu juga, pemohon berkata, pada 13 Januari lalu, suatu usul tambahan UMNO telah dicadangkan pada PAU 2022 yang berlangsung dari 11 hingga 14 Januari lalu, yang mana usul tersebut mengenai dua jawatan itu tidak dipertandingkan pada Pemilihan Majlis Tertinggi UMNO bagi penggal 2023-2026.

“Pada 2 Mac lalu, RoS mengeluarkan surat yang dialamatkan kepada Setiausaha Agung UMNO bertajuk Pengesahan Berhubung Usul Tambahan Ucapan Dasar Presiden di PAU 2022 yang ditandatangani Ketua Pengarah RoS.

“RoS mewajibkan UMNO untuk mengambil tindakan pembetulan untuk mematuhi Fasal 9.3 perlembagaan parti itu,” kata mereka.

Pemohon mendakwa, pada 7 Mac lalu, satu kenyataan media dikeluarkan oleh Saifuddin yang menyatakan kementeriannya memutuskan untuk memberi pengecualian menurut Seksyen 70 AkTA Pertubuhan 1966 kepada UMNO daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) akta sama.

Menerusi semakan sistem mahkamah, permohonan kebenaran semakan kehakiman itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Amarjeet Singh pada 15 Jun ini. -Sinar Harian