KUANTAN: Seramai 32 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Maran bertindak keluar parti dan menyertai UMNO akibat hilang kepercayaan terhadap perjuangan parti itu.

Kesemua mereka sudah menyerahkan borang keahlian kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan disaksikan Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Samsuddin.

Menurut Wan Rosdy, UMNO tidak menawarkan sebarang habuan kepada mereka untuk keluar daripada parti itu, sebaliknya ia di dorong rasa keyakinan terhadap perjuangan parti Melayu terbesar ini.

"Dan sebab itu lah mereka terbuka hati untuk masuk UMNO kerana kerajaan yang ada pada hari ini adalah ditunjangi oleh UMNO dan sebab keyakinan yang sedemikianlah mereka masuk.

"Dan sebagaimana yang saya katakan tadi, ini tidak ada paksaan, tidak ada ugutan, tidak ada ganjaran dan saya pun tidak mengenali puan Nora dan begitu juga dengan yang lain-lain. "

"Saya selaku Pengerusi Perhubungan UMNO negeri dan ini adalah pertama kali berjumpa dan mereka menyatakan adalah kerelaan mereka sendiri," katanya.

Sementara itu, bekas Ketua Srikandi Bersatu Maran, Siti Nora Mohamad Nor berkata, mereka sudah lama hilang keyakinan terhadap kepimpinan Bersatu termasuk kelemahan parti itu sama ada di peringkat daerah, negeri mahupun pusat.

Tambah Siti Nora, seramai 100 individu lagi akan mengikuti jejak langkah mereka selepas melihat kesungguhan kerajaan UMNO yang mampu membela nasib rakyat terutama ketika pandemik dan bencana banjir.

"Saya melihat perjuangan dan mempertahankan kedaulatan agama bangsa dan negara lagi pun parti UMNO ini amat perihatin terhadap rakyat bangsa dan negara," ujarnya,

Terdahulu pada Ogos tahun lalu, Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Bersatu Bahagian Temerloh dan kembali ke pangkuan parti UMNO.