Skip to main content

Politik

4 bahagian Bersatu Perak didakwa dibubar

Mohd Zahari (empat dari kiri) membacakan kenyataan mengenai pembubaran Bahagian Bersatu Gopeng yang diumumkan menerusi rakaman video dikongsi melalui media sosial pada Selasa.
Mohd Zahari (empat dari kiri) membacakan kenyataan mengenai pembubaran Bahagian Bersatu Gopeng yang diumumkan menerusi rakaman video dikongsi melalui media sosial pada Selasa.

IPOH: Sekurang-kurangnya empat bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Perak telah mengumumkan pembubaran masing-masing susulan kemelut dalaman yang melanda parti itu ketika ini.

Selepas Bersatu Bahagian Larut, Tapah dan Padang Rengas, Bersatu Bahagian Gopeng pula mengumumkan pembubarannya pada malam Selasa.

Advertisement

Timbalan Ketua Bahagian, Mohd Zahari Md Ariffin berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat khas bahagian yang diadakan pada Selasa melibatkan barisan kepimpinan daripada Pengerusi Tetap hingga ke sayap Srikandi, Armada dan Bersekutu.

Menurutnya, tindakan tersebut dibuat selepas pertimbangan mendalam susulan hilangnya kepercayaan terhadap kepimpinan parti yang diterajui Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Kami bersetuju meletakkan jawatan dan mengisytiharkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.

"Keputusan ini dibuat khususnya disebabkan hilangnya kepercayaan kami terhadap barisan kepimpinan parti selain beberapa kepincangan dalam membuat keputusan serta hala tuju kepimpinan yang pada pandangan kami tidak lagi selari dengan prinsip dan perjuangan kami,” katanya dalam satu kenyataan menerusi rakaman video pada Selasa.

Mohd Zahari berkata, susulan peletakan jawatan keseluruhan ahli jawatankuasa tersebut, Bahagian dan semua sayap Bersatu Gopeng secara rasmi terbubar serta-merta.

Beliau menegaskan, kenyataan yang dibuat itu adalah secara ikhlas tanpa sebarang paksaan daripada mana-mana pihak.

Sebelum ini Ketua Bersatu Bahagian Gopeng, Ahmad Ishak antara 17 pemimpin Bersatu yang dipecat Lembaga Disiplin parti itu kerana melanggar Fasal 9.1.4 Perlembangaan Bersatu.

Selain Ahmad, pemimpin bahagian Bersatu yang dipecat termasuklah, Ketua Bersatu Teluk Intan, Kamaruddin Majid; Ketua Bersatu Bahagian Larut, Mohd Hassundi Hamzah dan Ketua Bersatu Bahagian Tapah, Mhod Yunus Mhd Yusop. - Sinar Harian

Must Watch Video