POLITIK
99 kerusi DUN Sarawak langkah tepat, seiring geografi negeri - Fadillah

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof melawat peserta Kursus AI for MY Future bagi kawasan Parlimen Petra Jaya di CENTEXS, di sini. - Foto Bernama
KUCHING: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menyifatkan pertambahan jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak kepada 99 sebagai langkah tepat dan berasaskan keperluan sebenar negeri itu yang memiliki keluasan hampir menyamai Semenanjung.
Ringkasan AI
- Sarawak tambah 17 kerusi DUN, kini berjumlah 99: Fadillah Yusof menyifatkan langkah ini sebagai tepat dan berasaskan keperluan sebenar negeri yang luas, dengan tujuan memperkukuh pentadbiran dan representasi etnik serta kawasan luar bandar.
- Fokus kepada kecekapan pentadbiran, bukan semata-mata MA63: Walaupun ada kaitan dengan tuntutan MA63, Fadillah menekankan bahawa penambahan kerusi bertujuan meningkatkan keberkesanan tadbir urus negeri.
- Program AI Petra Jaya latih pemimpin masyarakat: Seramai 108 peserta ikuti kursus rintis AI for MY Future dengan kerjasama Microsoft, bertujuan melahirkan pelatih komuniti yang mampu guna teknologi untuk perancangan dan pembangunan setempat.
"Saya menyokong langkah ini kerana sudah pasti ia memberi pentadbiran lebih berkesan untuk kita membangunkan Sarawak," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kursus 'AI for MY Future' kawasan Parlimen Petra Jaya di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) di sini hari ini.
Fadillah berkata dengan penambahan kerusi DUN, lebih banyak kawasan luar bandar akan mempunyai wakil rakyat tersendiri seterusnya membolehkan suara masyarakat setempat dibawa ke peringkat penggubalan dasar negeri.
Ditanya sama ada langkah itu berkait dengan tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), beliau menegaskan fokus utama tertumpu kepada kecekapan pentadbiran.
"Saya tidak boleh mengatakan perkara itu (sebahagian daripada MA63) tetapi apa yang lebih penting ialah fokus kita mentadbir Sarawak dengan lebih berkesan dan efisien," katanya.
Pada 7 Julai lepas, DUN Sarawak meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) DUN Sarawak (Komposisi Keanggotaan) 2025 untuk menambah 17 kerusi baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kerusi DUN itu kepada 99 berbanding 82 sebelum ini.
Menyentuh mengenai projek rintis kursus kecerdasan buatan (AI) bagi Parlimen Petra Jaya, Fadillah berkata 108 peserta dengan majoritinya terdiri daripada pemimpin masyarakat telah menjalani kursus berkenaan bagi menguasai kemahiran asas seperti analisis data dan penyediaan dokumen dalam urusan harian.
Beliau berkata matlamat akhir program dengan kerjasama Microsoft itu adalah untuk melahirkan kumpulan pelatih yang mampu melatih masyarakat setempat khususnya di kawasan luar bandar.
"Keberkesanan program ini akan dinilai oleh Microsoft sebelum dapat diperluas ke seluruh negeri, kalau kita dapat kenal pasti lokasi masyarakat yang memerlukan bantuan melalui data, kita boleh merancang dengan lebih tepat dan efisien," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami