MELAKA: Seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka dilantik sebagai Timbalan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bagi mengukuhkan struktur pentadbiran Kerajaan Perpaduan di negeri itu.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang mengumumkan senarai 10 Timbalan Exco berkenaan selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) malam ini berkata, komposisi barisan Timbalan Exco terdiri daripada dua ADUN daripada Pakatan Harapan (PH) dan lapan ADUN daripada Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, daripada jumlah itu, lapan merupakan muka baharu manakala dua lagi adalah bekas Exco kerajaan negeri sebelum ini.

Pada sidang media selepas MMKN berkenaan, Ab Rauf berkata, ADUN Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar dilantik sebagai Timbalan Exco Perancangan Ekonomi, Kewangan, Hal Ehwal Tanah, Agensi Bukan Kerajaan, Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Teknikal dan Vokasional (TVET).

ADUN Taboh, Naning Zulkiflee Mohd Zin pula dilantik sebagai Timbalan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana manakala ADUN Serkam, Datuk Zaidi Attan dilantik memegang jawatan Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya.

Turut dilantik, ADUN Kota Laksamana, Low Chee Leong (Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan) serta ADUN Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halim (Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital).

Selain itu, ADUN Bandar Hilir, Leng Chau Yen dilantik sebagai Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti manakala ADUN Sungai Rambai, Siti Faizah Abdul Azis dilantik Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan.

Bagi jawatan Timbalan Exco Kerja Raya Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan pula ialah Zahari Abd Kalil (ADUN Durian Tunggal) dan ADUN Kuala Linggi, Rosli Abdullah dilantik Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama.

ADUN Pantai Kundor ,Tuminah Kadi @ Mohd Hashim pula dilantik Timbalan Exco Pembangunan Usahawan Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna.

"Bagi jawatan Timbalan Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan pula, kita masih belum putuskan kerana kita masih menunggu keputusan mereka yang tidak dapat dihubungi," katanya.

Sementara itu, Ab Rauf berkata, bagi jawatan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri pula, ia akan diputuskan kemudian memandangkan Khaidhirah telah dilantik sebagai Timbalan Exco negeri. - BERNAMA