Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin enggan melayan dakwaan mengaitkan dirinya tidak bersetuju dengan konsensus melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri ketujuh sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu.

Zuraida yang juga calon Naib Presiden PKR berkata, beliau tidak nampak relevannya isu itu dibangkitkan.

Sebaliknya beliau menyifatkan tindakan membangkitkan perkara itu sebagai 'tidak matang' jika ia merupakan antara cara berkempen menjelang Pemilihan PKR 2018 yang dijadualkan bermula akhir bulan ini.

"Tak apalah.. kalau itu cara dia berkempen, cara orang yang tak matang.

"Saya lebih suka nak mengamalkan politik matang.. jadi tak apalah, tinggalkanlah orang yang tak matang ini," katanya kepada media di Pangsapuri Mentari, di sini, pada Sabtu.

Terdahulu, beliau menziarah keluarga kepada kanak-kanak yang maut selepas jatuh dari tingkat 17 di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara, Petaling Jaya, pada Khamis.

Rafizi sebelum ini dilaporkan berkata, ketika Dr Mahathir dan Bersatu dibawa masuk ke dalam Pakatan Harapan (PH), serta bersetuju dengan konsensus untuk melantik Pengerusi Bersatu sebagai perdana menteri ketujuh, Zuraida antara individu yang membantah, atas dasar jawatan tersebut harus disandang individu lebih muda.

Rafizi yang juga calon timbalan presiden PKR turut mendedahkan, beliau harus bertempur dengan Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan sekutu-sekutunya kerana rekod prestasi mereka yang mengecewakan.

Kenyataan Rafizi itu dibuat dalam satu wawancara bersama Star TV pada Jumaat.