GUA MUSANG: DAP Kelantan mengenal pasti sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk diberi tumpuan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan bagi membantu calon Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi berkenaan.

Pengerusi DAP negeri Datuk Azaha Abdul Rani berkata setiap DUN berkenaan mempunyai jumlah pengundi bukan Melayu melebihi 2,000 orang.

"Ada sembilan daripada 45 DUN Kelantan yang memiliki pengundi bukan Melayu lebih 2,000 orang dan paling besar di DUN Kota Lama iaitu 38 peratus. Sokongan kepada DAP di sembilan DUN itu memang baik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Menyambut Perayaan Pesta Perahu Naga di Tokong Kuan Tai Meow di Bandar Lama, di sini hari ini.

PRN Kelantan kali ini akan menyaksikan BN membuat kerjasama politik dengan PH.

Sebelum ini, Ketua Penerangan UMNO Kelantan Datuk Zawawi Othman dilapor berkata BN akan bertanding di 31 kerusi, manakala 14 kerusi diberikan kepada PH.

-- BERNAMA