Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan akan meletakkan jawatan dan telah menyerahkan surat peletakan jawatan seperti yang disebarkan dalam mesej aplikasi WhatsApp sejak malam Ahad.

Abdul Khalid turut meminta mana-mana pihak yang menyebarkan khabar angin tentang perletakan jawatannya supaya segera menghentikannya.

Katanya, perkara itu tidak timbul sama sekali selain mengakui baru menghadiri mesyuarat bersama unit pembangunan ekonomi negeri.

Ujarnya, berita yang tersebar sejak semalam itu turut disifatkan tidak menghormati bulan Ramadan.

Sejak malam Ahad, banyak mesej di aplikasi Whatsapp menyatakan Abdul Khalid akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menyerahkan surat peletakan jawatannya dan pagi ini satu lagi mesej yang kononnya memetik laporan agensi Berita Nasional (BERNAMA) menyatakan beliau telah melakukan demikian.

Bagaimanapun, BERNAMA menafikan penyebaran berita peletakan jawatan Abdul Khalid itu.

Sebelum ini, sumber turut menyatakan Abdul Khalid bakal melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor dalam satu perbincangan di antara kepimpinan tertinggi PKR, DAP dan PAS negeri.