Satu pertemuan antara Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dengan Anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah akan diadakan di sini esok, dipercayai berkaitan kemelut politik membabitkan kedudukan Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir sebagai Menteri Besar.

Beberapa ADUN mengesahkan telah dimaklum mengenai pertemuan itu yang dijangka berlangsung di Wisma Darul Aman, 2 petang esok.

Seorang ADUN yang enggan namanya dinyatakan berkata beliau menerima makluman tersebut menerusi Whatsapp tetapi enggan mengulas lanjut.

"Surat tiada, tetapi saya mendapat mesej untuk hadir ke pertemuan itu esok," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Seorang lagi ADUN berkata beliau mendapat mesej mengenai perkara itu dan dihubungi oleh seorang pegawai dari Wisma Darul Aman.

Sementara itu, seorang ADUN terlibat mengesahkan akan hadir pertemuan itu, dan difahamkan mereka akan dipanggil mengadap seorang demi seorang.

Suasana politik di Kedah 'panas' sejak kebelakangan ini apabila Mukhriz menerima tekanan daripada ADUN dan Anggota Parlimen UMNO Kedah, serta pemimpin kanan UMNO negeri yang diketuai timbalan pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah.

Mereka secara terbuka menyuarakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.

Terdapat maklumat bahawa 19 daripada 21 ADUN BN - 17 daripada UMNO dan dua MCA - telah menandatangani surat akuan menyatakan hilang kepercayaan terhadap Mukhriz.

Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menghadap Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tunku Tan Sri Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah, yang juga Tunku Temenggong Kedah, di Istana Darul Aman, Bukit Persekutuan di ibu negara bagi membincangkan mengenai pertukaran Menteri Besar.

Turut hadir pada pertemuan hampir sejam itu adalah dua lagi anggota jemaah iaitu Tunku Laksamana Kedah Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani dan Tunku Panglima Besar Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Shafinaz Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Najib dalam sidang media pada hari yang sama selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur dilaporkan sebagai berkata beliau telah menyembah maklum beberapa cadangan kepada Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah berhubung kemelut berkenaan.