KOTA KINABALU: Situasi Parti Warisan (Warisan) yang dipimpin Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sekali lagi bergolak apabila salah seorang pemimpin veteran parti itu bertindak meninggalkan parti.

Hari ini, dalam satu sidang media, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama, Datuk Mohamaddin Ketapi membuat keputusan keluar Parti Warisan (Warisan) dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Mohamaddin yang juga Ahli Parlimen Lahad Datu berkata keputusan keluar parti itu dibuat beliau selepas melihat tiada sebarang bentuk pembangunan dan kemajuan dapat disalurkan di kawasan diwakilinya sepanjang berada di kerusi pembangkang.

“Sudah lebih setahun saya berada di pihak pembangkang namun tiada sebarang kemajuan yang dapat dibawa ke kawasan Parlimen Lahad Datu. Situasi sama turut berlaku di DUN Segama yang tiada menunjukkan sebarang bentuk pembangunan walaupun hanya membabitkan tandas awam," katanya.

Tambah Mohamaddin, ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 tahun lalu, beliau berjanji kepada pengundi Segama untuk membawa seberapa banyak kemajuan dan pembangunan di kawasan itu.

Ujar beliau, sekiranya beliau masih berada dalam kelompok pembangkang, sudah tentu kemajuan serta pembangunan di DUN Segama akan terus terabai dan tidak akan maju.

Beliau menjelaskan selaku wakil rakyat bebas beliau mempunyai hak untuk menyokong sebarang usaha kerajaan yang bertunjangkan kebajikan rakyat.

Tambahnya, di peringkat kerusi parlimen beliau memilih untuk kekal bebas tanpa menyokong mana-mana pihak.

Mengulas lanjut, Mohamaddin menyatakan walaupun mesra kepada kerajaan negeri bagi DUN yang diwakili namun beliau memaklumkan dirinya kekal menjadi seorang Ahli Parlimen bebas dan tidak menyokong mana-mana pihak di peringkat Persekutuan.

“Bagaimanapun, saya sangat berbesar hati untuk mengundi dan menyokong usaha Kerajaan Persekutuan sekiranya undi yang ada pada saya iaitu satu undi Bebas boleh membantu membuat keputusan demi kepentingan rakyat dan negara.

“Hal ini disebabkan sudah menjadi tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat yang dipilih pengundi bagi menjayakan sebarang usaha kerajaan untuk negara secara keseluruhannya,” katanya.

Menyentuh isu 'beli' wakil rakyat yang memungkinkan keputusan itu dibuat beliau, Mohamaddin berkata tiada unsur pembelian dalam pengumuman yang dibuat pada Sabtu.

"Pengumuman yang saya buat hari ini adalah semata-mata demi untuk memastikan kemajuan dibangunkan di DUN Segama dan tiada kaitan dengan beli wakil rakyat," jelasnya.