KUALA LUMPUR: Agenda Malaysia Biru yang digariskan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan diterjemahkan dalam manifesto Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16.
Setiausaha Agung BN Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata agenda berkenaan akan menjadi antara usaha gabungan itu dalam merangka pendekatan bagi memastikan Malaysia terus berada dalam keadaan aman dan stabil, selain menghadapi cabaran semasa serta masa hadapan.
“Yang Amat Berhormat Presiden meletakkan lapan ikhtiar menerusi Agenda Malaysia Biru … kita lihat bahawa kelapan-lapan ikhtiar itu adalah sangat penting untuk memastikan supaya negara sentiasa aman, stabil, dan dalam masa yang sama, dari segi kesungguhan kita untuk berhadapan dengan cabaran-cabaran mutakhir yang ada pada hari ini.
“Sebagai contoh, cabaran geopolitik yang kita tahu dalam keadaan dunia yang semakin terancam dan tidak stabil ini, kita memerlukan perancangan-perancangan yang teliti bagi memastikan Malaysia sentiasa berada dalam keadaan aman dan makmur,” katanya.
Zambry yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO ditemui pemberita semasa melawat Laman Media pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Semalam, Ahmad Zahid berkata UMNO dan BN akan menggariskan Agenda Malaysia Biru untuk membentuk hala tuju negara menjelang 100 tahun usia kemerdekaan sekiranya gabungan itu kembali menerajui Putrajaya.
Agenda berkenaan membawa aspirasi untuk membina Malaysia yang Berdaulat dan Bersatu, Inovatif dan Berpendapatan Tinggi, Rakyat Makmur dan Saksama, serta Unggul dan Disegani Dunia.
-- BERNAMA