KUALA LUMPUR: Seorang lagi Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam satu kenyataan, Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik berkata sokongan tersebut berkuat kuasa hari ini, selepas meneliti, memperhalusi dan mempertimbangkan tentang permasalahan yang dihadapi oleh rakyat.

Jelas beliau, isu kos sara hidup, keperluan asas yang menghimpit rakyat yang perlu dipertingkatkan, selain pembangunan mesti diteruskan di kawasan Parlimennya.

"Saya sedar rakyat mesti diutamakan dan pembangunan mesti diteruskan tanpa sebarang kompromi. Dalam alaf yang serba mencabar ini, selaku Ahli Parlimen saya harus memberi khidmat yang terbaik buat rakyat dalam Parlimen Jeli.

"Namun demikian, saya akan taat, setia dan kekal sebagai ahli Bersatu," katanya dalam kenyataan itu pada Rabu.

Mengulas lanjut, Zahari berkata beliau bersedia berdepan dan menerima risiko daripada tindakan disiplin parti susulan keputusan yang diambil olehnya itu.

Begitu pun, beliau menegaskan para pengundi dan rakyat dalam Parlimen Jeli tidak boleh terus menjadi mangsa keadaan dan ketinggalan menerima semua bentuk pembangunan dan bantuan daripada Kerajaan Pusat.

"Maka dengan ini saya juga mengisytiharkan untuk menyokong sebarang dasar-dasar dan inisiatif yang kerajaan lakukan di dalam memulihkan ekonomi negara serta meletakkan kebajikan dan kepentingan rakyat. Sokongan saya ini berterusan sehingga Pihanraya Umum (PRU) yang seterusnya," ujarnya lagi.

Tambah beliau, pengisytiharan sokongan kepada Perdana Menteri dibuat tanpa apa-apa paksaan, pengaruh serta tekanan dari mana-mana pihak.

Sebaliknya, Zahari berkata ia dibuat atas kerelaan saya sendiri demi Rakyat dalam Parlimen Jeli.

[TERKINI] Ahli Parlimen Gua Musang isytihar sokong PM


Semalam, Ahli Parlimen Gua Musang daripada Perikatan Nasional (PN), Datuk Mohd Azizi Abu Naim turut mengisytiharkan sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, diikuti Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman turut mengambil tindakan sama.

Susulan itu, kedua-dua mereka masing-masing digantung keahlian selama empat dan enam tahun oleh Bersatu.