Ahli Parlimen Pasir Gudang, Normala Abdul Samad menafikan pembabitannya dalam komplot menggulingkan kerajaan sebagaimana yang menjadi viral di media-media sosial.

Sehubungan dengan itu, Normala membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Alam, di sini, pada petang Isnin.

Menurutnya, beliau mengetahui namanya tersenarai dalam 20 individu yang dituduh berkomplot menggulingkan kerajaan pada pagi tadi.

"Saya buat penafian sekeras-kerasnya atas fitnah berniat jahat ini untuk mengucar-ngacirkan rakyat Malaysia, terutama sekali menimbulkan keraguan di kalangan rakyat.

"Jadi perkara ini tidak harus dibenarkan berterusan dan kita minta pihak yang mempunyai kuasa untuk tahan mereka yang guna media sosial secara negatif untuk tindakan sewajarnya," katanya, selepas membuat membuat laporan polis.

Menurutnya, beliau membuat laporan polis itu selepas dinasihatkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pengerusi BNBBC, Tan Sri Shahrir Abdul Samad/

Selain Normala, nama Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal antara 20 individu tersenarai serta tersebar di media-media sosial yang dikatakan berkomplot bagi menjatuhkan kerajaan.