BINTULU: Pembangunan infrastruktur yang dilaksanakan di kawasan Jepak bukan sahaja memudahkan perhubungan penduduk, malah turut membuka peluang ekonomi kepada komuniti setempat, khususnya peniaga kecil yang bergantung kepada kedatangan pelanggan dari kawasan sekitar.
Kemudahan Jambatan Jepak, misalnya, dilihat memberi perubahan kepada aktiviti perniagaan apabila perjalanan dari kawasan seberang, termasuk Kidurong dan bandar Bintulu, menjadi lebih mudah sekali gus meningkatkan kehadiran pelanggan.
Bagi peniaga, Nor Fadzilah Tali, yang hampir enam tahun menjalankan perniagaan ayam panggang dan sate di Kampung Baru Sebuan Besar berkata, sambutan pelanggan kini lebih menggalakkan berbanding sebelum ini.
“Alhamdulillah, selepas jambatan sudah siap, sambutannya kira lebih meriah sikitlah berbanding tahun-tahun lepas. Tambahan pula, kalau guna jalan lama, jauh untuk pergi ke seberang. Apabila jambatan sudah siap, perjalanan lebih dekat dan mudah,” katanya ketika ditemui TVS pada Selasa.
Menurut Nor Fadzilah, kebanyakan pelanggan yang berkunjung ke premis perniagaannya datang dari kawasan seberang, termasuk Kidurong dan Sungai Plan, sekali gus memperlihatkan bagaimana kemudahan perhubungan mampu memberi limpahan manfaat kepada aktiviti ekonomi setempat.
Sementara itu, peniaga dari Kampung Hilir Kuala Tatau, Saliana Marsat, 45, berkata, kawasan berkenaan mempunyai potensi untuk menarik lebih ramai pengunjung, khususnya mereka yang ingin mendapatkan hasil laut segar sambil menikmati suasana kampung.
“Kadang-kadang mereka yang datang dari jauh membeli ikan sambil melihat pemandangan Kampung Kuala Tatau,” ujarnya.
Saliana turut berharap pembangunan di Kuala Tatau dapat dipertingkat, khususnya dari segi kemudahan pengangkutan dan penyediaan pasar kecil-kecilan bagi memudahkan penduduk menjalankan aktiviti perniagaan serta memasarkan hasil tangkapan laut. – TVS