PUTRAJAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan bahawa nasib individu lain selain bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar akan turut ditentukan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), malam esok.

Jelasnya, ia merupakan sebahagian daripada langkah pembersihan besar-besaran di dalam parti itu seperti diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) yang lalu.

"Tunggulah apabila MKT bermesyuarat, untuk dia (Khairy) secara individu tidak penting," kata Ahmad Zahid.

"Saya kata dalam Perhimpunan Agung (UMNO) baru-baru ini, kita akan lakukan pembersihan secara besar-besaran, termasuk mereka yang mensabotaj parti dan calon parti pada pilihan raya umum lalu dan mungkin termasuk orang yang `menembak kaki sendiri' ketika pilihan raya diadakan," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian dalam siang media selepas Mesyuarat Penyelarasan bersama EXCO Luar Bandar (MEXCLUB), di sini, hari ini.

BACA: Khairy tolak pelawaan PN, masih setia bersama UMNO

BACA: UMNO tentukan nasib KJ pada Jumaat

BACA: Status Khairy dalam UMNO diketahui petang ini?

Beliau berkata demikian mengulas mengenai fokus mesyuarat MKT yang dijadual berlangsung di Menara UMNO jam 8 malam Jumaat.

Ketika diasak berapa jumlah individu yang terlibat, Ahmad Zahid enggan mengulas lanjut.

"Tak boleh saya beritahu awal. Kalau strategi dikongsi dengan wartawan, ia tidak lagi menjadi strategi.


"Saya perlu embargo maklumat itu sehingga waktunya," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menjemput pihak media untuk hadir ke Menara UMNO bagi membuat liputan berhubung perkara itu.

"Sila datang beramai-ramai kalau hendak mengetahui senarai mereka yang terlibat," katanya.

Pada PAU2022 yang lalu, Ahmad Zahid dilapor memberi jaminan akan melakukan pembersihan menyeluruh supaya UMNO bersih daripada anasir baling batu sembunyi tangan.

Antara nama yang disebut terbabit dalam pembersihan itu adalah Khairy selepas Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hassan mengesahkan status keahlian bekas Menteri Kesihatan itu akan ditentukan dalam mesyuarat MKT.

Khairy sebelum ini mengkritik parti berhubung jawatan nombor satu dan dua yang diputuskan tidak dipertandingkan.

Beliau menyifatkan ia sebagai "kegilaan" dan cubaan untuk menyekat demokrasi.

Artikel asal ini diterbitkan di portal Sinar Harian