KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumi mengesa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk direhatkan daripada jawatan itu bagi memastikan perbicaraan kes di mahkamah diselesaikan tanpa kelewatan atau gangguan.

Menerusi satu kenyataan pada Khamis, Ahmad Faizal berkata, permohonan Presiden UMNO itu untuk mendapatkan kembali pasport antarabangsanya dilihat memberi tekanan kepada pihak mahkamah serta hakim dan akan mengganggu proses perbicaraan.

"Ia berikutan permohonan yang difailkan Datuk Seri Ahmad Zahid kepada pihak mahkamah untuk pasport beliau dikembalikan secara kekal, walaupun dokumen itu sebelum ini telah diserahkan bagi mematuhi syarat ikat jamin perbicaraan yang masih berlangsung, berkaitan 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

"Dalam permohonannya, Datuk Seri Ahmad Zahid mendakwa beliau telah diberi mandat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mewakilinya dalam beberapa urusan pentadbiran negara.

"Selain bagi melancarkan pergerakan, urusan dan tugasan selaku Timbalan Perdana Menteri, yang dikehendaki berada di dalam dan di luar negara," jelas Ahmad Faizal. 

Mengulas lanjut, tambah Ahmad Faizal, meskipun menjadi kuasa mutlak hakim untuk memulangkan pasport berkenaan, namun jawatan yang digalas Ahmad Zahid boleh memberi kesan kepada kuasa bidang kehakiman. 

"Walaupun ia menjadi kuasa mutlak hakim untuk memulangkan pasport berkenaan, namun bidang tugas yang dipegang Datuk Seri Ahmad Zahid yang dalam pentadbiran kerajaan ketika ini, akan memberi kesan kepada kuasa bidang kehakiman untuk menjamin perbicaraan yang efisyen, lancar serta tanpa penangguhan.

"Pemulangan pasport berkenaan pastinya akan menyebabkan lebih banyak kelewatan dalam proses perbicaraan, dengan pelbagai alasan urusan tugas, seterusnya akan mengambil masa yang lebih lama untuk diselesaikan," katanya.

Malah dakwa Ahmad Faizal, hakikatnya pentadbiran negara mempunyai Timbalan Perdana Menteri yang berdepan perbicaraan 47 pertuduhan di mahkamah ketika ini dilihat sebagai perosak kepada komposisi Jemaah Menteri serta kerajaan keseluruhannya. 

"Ia adalah satu penghinaan kepada majoriti pengundi dalam pilihan raya umum ke-15, yang mengharapkan sebuah kerajaan bersih, telus dan berintegriti," katanya lagi.

Ahmad Zahid pada Khamis menegaskan pasport antarabangsanya yang kini ditahan Mahkamah Tinggi sebagai syarat jaminan tambahan, menjadi kekangan untuk beliau menjalankan tugas seperti menteri lain kerana tidak mempunyai akses kepada pasport tersebut.

Jelas Ahmad Zahid lagi, pasport antarabangsanya diperlukan bagi membolehkan Jabatan Imigresen memproses permohonan beliau mendapatkan pasport diplomatik bagi memudahkan perjalanan ke luar negara.