Usul pecat daripada parti kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Kijal, Datuk Seri Ahmad Said merupakan satu proses biasa yang dilakukan UMNO dalam berhadapan masalah disiplin ahlinya.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, ia sejajar kedudukan parti yang meletakkan disiplin serta kesetiaan sebagai tonggak mengukuhkan perpaduan di kalangan ahli.

Ahmad Razif turut mempertahankan tindakannya itu pada Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO Jumaat lepas.

“Kalau ada sebarang aduan salah laku yang dibuat oleh ahli maka tindakan yang akan dibuat oleh Badan Perhubungan ia akan membawa laporan atau membuat laporan untuk dihantar kepada Majlis Tertinggi untuk dibawa kepada badan disiplin.

“Ini kerana yang utama sekarang pihak yang dituduh ataupun yang telah diberi laporan itu tadi perlu diberi peluang lah untuk memberi jawapan ataupun perlu di bicarakan sebelum diputuskan oleh Jawankuasa Disiplin tersebut,” kata Ahmad Razif pada majlis sambutan Hari Raya Badan Perhubungan UMNO Negeri di Kuala Terengganu hari ini.

Menurutnya, pemecatan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan penggantungan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafee Apdal sebelum ini membuktikan UMNO tidak berkompromi dengan sebarang salah laku.

Pada mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO Jumaat lepas, Ahmad Razif yang juga Menteri Besar Terengganu menggesa Datuk Seri Ahmad Said dipecat susulan kelantangannya mengkritik Kerajaan dan mengusulkan undi tidak percaya pada sidang Dewan Undangan Negeri yang lalu.

Bagaimanapun mesyuarat tidak membincangkan isu berkenaan sebaliknya memberikan tumpuan terhadap isu semasa yang lain.