Skip to main content

Sukan

Norway fail aduan etika FIFA berhubung Infantino, kebimbangan tadbir urus

NFF gesa FIFA siasat isu etika dan tadbir urus membabitkan Presiden Gianni Infantino serta tiga kes kontroversi utama. - Foto fail/REUTERS
NFF gesa FIFA siasat isu etika dan tadbir urus membabitkan Presiden Gianni Infantino serta tiga kes kontroversi utama. - Foto fail/REUTERS

Advertisement

ISTANBUL: Persatuan Bola Sepak Norway (NFF) pada Selasa mengemukakan dua permohonan rasmi kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berhubung kebimbangan mengenai tadbir urus dan etika yang melibatkan Presiden FIFA, Gianni Infantino serta tiga kes kontroversi, menurut kenyataan persatuan itu, lapor Anadolu Ajansi.

NFF mengemukakan aduan etika meminta Jawatankuasa Etika FIFA meneliti tindakan Infantino dan mana-mana individu lain yang dikenal pasti sepanjang siasatan bagi menentukan kemungkinan pelanggaran Kod Etika badan induk bola sepak dunia itu.

Rujukan berasingan kepada Jawatankuasa Tadbir Urus, Audit dan Pematuhan FIFA (GACC) pula meminta penelitian sama ada tadbir urus organisasi, pengawasan kewangan, kawalan dalaman dan proses membuat keputusan berfungsi seperti yang sepatutnya.

Kedua-dua permohonan itu melibatkan tiga isu: projek FIFA Forward Enterprise (FFE) yang dibatalkan, pengendalian penggantungan penyerang Amerika Syarikat Folarin Balogun ketika Piala Dunia 2026 dan penciptaan serta penganugerahan Hadiah Keamanan FIFA.

“Tujuan siasatan ini mudah: untuk menentukan fakta dalam kes berkenaan dan memastikan akauntabiliti berdasarkan peraturan FIFA sendiri,” kata Presiden NFF Lise Klaveness.

NFF meminta penelitian terhadap kemungkinan campur tangan politik dalam proses disiplin yang melibatkan Balogun ketika Piala Dunia.

Balogun menerima penggantungan automatik satu perlawanan selepas dilayangkan kad merah ketika kemenangan Amerika Syarikat ke atas Bosnia dan Herzegovina, namun FIFA kemudiannya menjadikan pelaksanaan penggantungan itu bersyarat, sekali gus membolehkan beliau beraksi menentang Belgium.

Keputusan itu dibuat selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menghubungi Infantino dan memintanya meneliti semula kad merah berkenaan.

Persatuan Norway itu mahu FIFA meneliti komunikasi berkaitan keputusan itu sama ada hubungan dengan pihak luar mempengaruhi proses disiplin dan sama ada keperluan berhubung kebebasan badan disiplin FIFA dipatuhi.

NFF turut meminta penjelasan berhubung projek FIFA Forward Enterprise yang dibatalkan, yang melibatkan rancangan membolehkan pelabur swasta memperoleh pegangan minoriti dalam sebuah entiti komersial baharu di bawah kawalan FIFA yang akan menguruskan hak bagi pertandingan utama FIFA, termasuk Piala Dunia.

Cadangan itu melibatkan penjualan kira-kira 20 peratus pegangan dalam entiti tersebut kepada pelabur luar.

Permohonan itu meminta penjelasan mengenai bagaimana projek berkenaan boleh berkembang sehingga ke tahap itu sama ada kawalan dalaman FIFA berfungsi dengan baik, bagaimana kepimpinan organisasi berkomunikasi mengenai cadangan itu dan sama ada sebarang kepentingan kewangan atau peranan pada masa depan untuk Infantino dipertimbangkan.

Projek itu ditarik balik pada Julai susulan tentangan daripada badan pentadbir bola sepak.

Isu ketiga berkaitan Hadiah Keamanan FIFA yang diwujudkan pada 2025 dan dianugerahkan kepada Trump pada tahun yang sama.

NFF meminta penelitian mengenai bagaimana hadiah itu diwujudkan, siapa yang meluluskannya, penglibatan Majlis FIFA serta sama ada penciptaan dan penganugerahannya selaras dengan keperluan FIFA berhubung berkecualian politik.

Persatuan Norway itu sebelum ini turut menyuarakan kebimbangan mengenai hadiah berkenaan dan hubungan FIFA dengan pemimpin politik.

Klaveness berkata NFF mahu ketiga-tiga perkara itu diteliti secara menyeluruh dan dokumen serta komunikasi berkaitan disediakan kepada persatuan anggota FIFA.

 -- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement