KUALA LUMPUR: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar yang menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman semalam, mungkin boleh dilantik sebagai Ketua Pembangkang, kata Fahmi Fadzil.

Menurut Menteri Komunikasi Dan Digital itu, ini kerana Pas dilihat begitu yakin kerana Perikatan Nasional (PN) sebelum ini mendakwa sudah ada 'calon Perdana Menteri.'

"Mungkin selepas ini langkah seterusnya selepas beliau (Ahmad Samsuri) angkat sumpah (sebagai Ahli Parlimen) ialah beliau akan dinobat sebagai Ketua Pembangkang.

"Jadi kita serah kepada mereka (pembangkang) untuk buat keputusan itu.

"Kami tidak risau tetapi semestinya di pihak kerajaan akan berusaha dengan lebih gigih untuk memastikan khidmat kepada rakyat termasuk di Kemaman tidak akan terabai," katanya ditemui pemberita pada program Run Hack: Scam Alert 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini hari ini. 

Ketika ini peranan Ketua Pembangkang digalas oleh Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Sebelum ini, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menolak kemungkinan Ahmad Samsuri diangkat sebagai calon Perdana Menteri bagi gabungan itu di masa depan.

Jelas beliau, Naib Presiden Pas itu mempunyai kelayakan dan personaliti yang baik.

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, kemenangan Ahmad Samsuri juga tidak mengubah jumlah sokongan terhadap kerajaan di Parlimen.

Beliau menambah, kemenangan calon Pas itu dengan majoriti 37,220 undi berkemungkinan dipengaruhi oleh cara kempen.

"(Tetapi) kalau nak dibandingkan jumlah majoriti beliau jauh lebih kecil jika dibandingkan Syahredzan (Ahli Parlimen Bangi) yang menang dengan majoriti 69,000.

"Datuk Seri Mohamad Sabu (Ahli Parlimen Kota Raja) pula memang majoriti 73,000, ... tetapi penting signalnya di sini nampaknya seperti Pas sangat yakin," ujar Fahmi.

Pas mengekalkan status quo di Kemaman selepas Ahmad Samsuri menang dengan majoriti 37,220 setelah memperoleh 64,998 undi, sekali gus menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang mendapat 27,778 undi.