KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan pelantikannya terhadap jawatan itu adalah satu amanah yang bukan sahaja besar, tetapi mencabar.
Namun Menteri Besar Terengganu itu berkata, beliau komited untuk memperkukuhkan muafakat politik dalam PN serta melaksanakan penambahbaikan terhadap struktur dan gerak kerja gabungan itu supaya mampu menjadi wadah harapan rakyat.
Advertisement
Ahmad Samsuri berkata, beliau ingin merakamkan penghargaan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin atas khidmat beliau menerajui PN sejak penubuhan gabungan itu, termasuk kejayaan memperoleh jumlah kerusi signifikan pada Pilihan Raya Umum ke-15.
“Tanggungjawab baharu kepada saya ini amatlah besar, berat dan mencabar, terutamanya dalam suasana pengharapan yang tinggi diberikan oleh pelbagai pihak dan rakyat kepada PN, untuk menjadi muafakat politik yang mampu membawa perubahan yang lebih baik kepada seluruh rakyat Malaysia pelbagai agama, bangsa, etnik dan latar belakang sosioekonomi.
"Saya akan berbincang dengan kepimpinan Majlis Pimpinan Tertinggi PN untuk mengadakan mesyuarat MPT PN bagi menentukan pelantikan jawatan sebagaimana keperluannya dalam Perlembagaan PN.
“Apa yang perlu disegerakan pada saat ini ialah pengukuhan muafakat politik ini, melaksanakan penambahbaikan struktur dan gerak kerja yang mampu menjadikan PN sebagai nukleus harapan rakyat,” katanya lagi.
Awal hari ini, Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas, dilantik sebagai Pengerusi baharu gabungan itu.
Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam satu sidang media berkata, perkara itu disahkan dalam Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN yang berlangsung di Pejabat Agung Pas hari ini.
Pelantikan tersebut dibuat selepas kerusi tersebut dikosongkan berikutan peletakan jawatan oleh Muhyiddin hampir dua bulan lalu.
Langkah melantik Ahmad Samsuri dilihat sebagai babak baharu dalam hala tuju PN, selepas berlaku beberapa siri ketegangan dalaman melibatkan Pas dan Bersatu, termasuk krisis kepimpinan di Perlis.
Pemerhati politik melihat krisis itu sebagai pembuka ruang kepada pengunduran beberapa pemimpin Bersatu, sekali gus membuka lebih ruang kepada Pas mengukuhkan pengaruh dalam PN.
Pelantikan Ahmad Samsuri juga hadir pada ketika PN sedang berusaha memantapkan kedudukan sebagai blok pembangkang utama, terutama selepas beberapa perubahan penting dalam struktur kepimpinan gabungan kebelakangan ini.