KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menunggu penjelasan rasmi dan terperinci sebelum membuat sebarang pendirian berhubung isu tarif melibatkan Amerika Syarikat (AS).
Tegas Perdana Menteri, kerajaan tidak mahu terburu-buru memberikan reaksi selagi syarat akhir dan maklumat penuh tarif berkenaan belum diperoleh.
Advertisement
"Bila penjelasan teliti itu diberikan, baru kita akan respons. Buat masa ini Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang meneliti dan menyelaras isu berkenaan dengan Washington.
"Malah kita juga berhubung dengan rakan-rakan ASEAN yang lain dan lihat bagaimana tindakan boleh diambil," katanya ketika ditemui media selepas melancarkan Program Rakan Masjid X Rakan Muda di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini, pada Ahad.
Sebelum ini, pada Sabtu, Menteri MITI, Datuk Seri Johari Abdul Ghani memaklumkan penelitian berhubung perkembangan terbaharu tarif AS akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet pada Jumaat ini.
Terdahulu, tarif import oleh Presiden AS, Donald Trump dibatalkan Mahkamah Agung kerana didapati melampaui kuasanya di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA).
Trump seterusnya menyatakan beliau akan mengenakan tarif seragam 10 peratus ke atas semua barangan import di bawah kuasa berasingan, kemudian dinaikkan kepada 15 peratus pada Ahad.
Pada Sidang Kemuncak ASEAN tahun 2025, perjanjian perdagangan timbal balas ditandangani antara Amerika Syarikat dan Malaysia semasa kunjungan Trump ke Kuala Lumpur.
Perjanjian berkenaan mengekalkan tarif 19 peratus ke atas barangan Malaysia, namun produk tertentu menikmati tarif sifar di bawah senarai rakan dagang bersama.