KUALA LUMPUR: Seramai 19 Ahli Parlimen termasuk Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyuarakan sokongan terhadap pelantikan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu.
Menerusi kenyataan bersama, mereka merakamkan ucapan tahniah kepada Menteri Besar Terengganu atas pelantikan itu.
Advertisement
Kesemua mereka menyifatkan pelantikan itu sebagai langkah konsolidasi serius gabungan berkenaan dalam memperkukuh peranan sebagai blok pembangkang serta bersedia berkhidmat kepada rakyat dan membina negara.
Selain Hamzah, antara Ahli Parlimen yang menyokong pelantikan itu ialah Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee; Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).
Selain itu, Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor), Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu), Datuk Muslimin Yahaya (Sungai Besar), Datuk Abdul Khalid Abdullah (Rompin), Khlir Mohd Nor (Ketereh) dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang).
Turut bersama ialah Zakri Hassan (Kangar), Roslan Hashim (Kulim Bandar Baharu), Fathul Huzir Ayob (Gerik), Azahari Hassan (Padang Rengas), Nordin Ahmad Ismail (Lumut), Kalam Salam (Sabak Bernam) serta Islahuddin Abbas (Mersing).
Terdahulu, Majlis Tertinggi PN sebulat suara bersetuju melantik Ahmad Samsuri mengetuai gabungan itu menggantikan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan 1 Januari lalu.
Muhyiddin kini merupakan Timbalan Pengerusi PN dengan pelantikannya dibuat dalam Mesyuarat Tertinggi gabungan itu pada Ahad.
Hamzah dan tiga Ahli Parlimen dipecat daripada Bersatu pada 13 Februari lalu susulan kemelut kepimpinan antara beliau dan Muhyiddin.