SHAH ALAM: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menafikan desas-desus bahawa terdapat tujuh Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) akan mengosongkan kerusi mereka.

Pengerusi BN itu berkata perkara tersebut adalah khabar angin kerana Ahli-Ahli Parlimen BN terikat dengan aku janji yang telah ditandatangani sebelum ini.

"Apa yang paling penting, kita tunggu sampai akhir penggal dan jika mahu lakukan tindakan politik yang sebaliknya, kita harus melihat mandat. Selain itu, watikah sudah diberikan kepada mereka bagi mewakili parti dan bukan diri sendiri.

"Ini dah ditandatangani oleh mereka dalam aku janji dan dalam dokumen yang diikrarkan di hadapan saya," katanya ketika diminta mengulas video Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam yang mendakwa tujuh Ahli Parlimen dari Johor, Pahang, Sabah dan utara Semenanjung akan meletak jawatan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan MADANI Ride Polis Diraja Malaysia dan Ipoh Super Bikers Club sempena Peringatan Hari Polis ke-216 serta Bulan Kebangsaan 2023 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Hazani Ghazali dan Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.

Mengulas kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di Pahang, Ahmad Zahid berkata perkara itu telah dibincang bersama Menteri Besar (MB) Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Presiden UMNO itu berkata calon yang akan mewakili BN bagi DUN berkenaan akan diperinci selepas senarai nama diperoleh.

"Saya telah adakan perbincangan dengan MB Pahang dan kita telah meneliti bukan hanya keputusan dalam PRU (pilihan raya umum) lalu tetapi kita merasakan bahawa pembangunan DUN Pelangai harus diberi kesinambungan dan diteruskan," katanya.

Kerusi DUN Pelangai diisytihar kosong selepas penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun maut dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie di Bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lepas.

Kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya hari ini memaklumkan Mesyuarat Khas berkaitan Pilihan Raya Kecil DUN N36 Pelangai akan diadakan Khamis ini.

-- BERNAMA