LENGGENG: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menegaskan akar umbi Barisan Nasional (BN) akan terus menyokong Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan sehingga tamat penggal.
Namun beliau mengingatkan agar UMNO dan BN tidak terus dijadikan ‘kambing hitam’ terhadap setiap kelemahan atau kegagalan pentadbiran kerajaan Pusat.
Menurut beliau, pendirian itu selari dengan ketetapan Presiden BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mahu Kerajaan Perpaduan dikekalkan demi memastikan kestabilan politik negara.
“Saya rasa pandangan Presiden itu cukup baik sekali. Kita nak menampakkan satu kematangan iaitu di peringkat Pusat... selagi BN dan UMNO tidak disalahkan.
“Sebab saya nampak, setiap kali naik pentas ceramah, salahkan BN, salahkan UMNO tentang janji-janji yang tidak dapat ditunaikan. Saya rasa itu bukanlah pendirian yang boleh kita terima.
“Namun demi negara menghadapi krisis global yang belum lagi selesai seperti di rantau Asia Barat, maka kita (BN) kekal profesional menawarkan sokongan untuk terus mendukung kestabilan Kerajaan Perpaduan. Tiada masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Lenggeng, pada Jumaat.
Katanya lagi, walaupun BN mengambil pendekatan berbeza di beberapa negeri termasuk menjalin kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dalam PRN Negeri Sembilan, ia tidak seharusnya ditafsirkan sebagai usaha menggugat kerajaan di Putrajaya.
“Tetapi keanjalan politik hari ini menuntut kita melakukan pendekatan yang sedikit berbeza di peringkat negeri. Sebab itu di Negeri Sembilan kita lawan.
“Dan saya menghormati kematangan kedua-dua Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang boleh terima di peringkat Pusat... terus kerjasama demi kestabilan negara.
“Kita tinggal setahun sahaja lagi penggal, tak lama dah. Jadi tak perlu la kita nak tarik sokongan atau paksa adakan pilihan raya umum (PRU) awal, kita matang dalam hal ini.
“Tetapi rakyat boleh nampak di Negeri Sembilan kita memberikan isyarat dan bayangan awal perubahan yang boleh datang pada PRU akan datang,” jelasnya.
Pada Khamis, Ahmad Zahid berkata BN kekal komited bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal Parlimen sekali gus menolak dakwaan wujud usaha menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar.
Tegasnya lagi, komitmen tersebut selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong ketika pembentukan Kerajaan Perpaduan dan tidak pernah berubah.