KUALA LUMPUR:Akses kepada belia berbangsa Dayak di Sarawak untuk menyertai arena politik perlu diperluaskan dan tidak hanya tertumpu kepada mereka yang mempunyai latar belakang politik semata-mata.

Ini kerana rata-rata golongan belia bangsa itu kini memiliki latar belakang pendidikan yang cemerlang dan lebih peka terhadap teknologi.

Demikian kata Penganalisis Politik, Dr Awang Azman Awang Pawi yang juga berpandangan kepelbagaian pemikiran dalam sesebuah entiti politik merupakan sesuatu yang perlu diraikan.

“Ketika ini di Sarawak, terdapat ramai anak muda Dayak yang berkelayakan daripada aspek akademik namun sekiranya mereka ini tidak diberi peluang, bagaimana mereka hendak mencipta pengalaman?

“Kita juga perlu faham bahawasanya pengalaman 30 tahun lalu tidak boleh disamakan dengan pengalaman masa kini kerana perubahan dan pembangunan dalam arus teknologi menjadikan golongan ini lebih peka dan ini kelebihan yang ada pada mereka,” kata Dr Awang Azman ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.

Tambahnya, kepelbagaian ini juga harus diraikan oleh golongan muda yang ingin berjinak-jinak dalam dunia politik.

“Mereka perlu tahu ideologi generasi masa kini dan generasi terdahulu bukanlah sesuatu yang perlu dipisahkan.

“Ini kerana gabungan kedua-dua generasi ini, baik daripada aspek pengalaman, pemikiran dan sikap wajar diraikan sebaiknya untuk saling melengkapi antara satu sama lain,” tambahnya.

Dr Awang Azman berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr James Jemut Masing mengenai pengalaman sebagai aset penting dalam memimpin negeri Sarawak.

Selain itu, Masing yang juga Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) berkata kemahiran berpolitik juga memainkan peranan yang penting dalam memastikan hala tuju cemerlang sesebuah parti politik.