POLITIK
Akuan bersumpah Ketua Bahagian Bersatu bukan untuk desak Muhyiddin letak jawatan - Wan Saiful

Wan Saiful (tengah) ketika sidang media di sini, hari ini. - Gambar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Akuan bersumpah (SD) yang dikumpulkan membabitkan 120 Ketua Bahagian (KB) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak bertujuan mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan Presiden parti.
Ringkasan AI
- Datuk Wan Saiful Wan Jan menegaskan akuan bersumpah (SD) yang dikumpulkan daripada 120 Ketua Bahagian Bersatu bertujuan menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin mengatur pelan peralihan parti, bukan mendesak beliau meletak jawatan.
- Beliau menyifatkan dakwaan bahawa SD itu bertujuan menolak kepimpinan Muhyiddin sebagai naratif songsang, dan menafikan kaitan dengan SD lain yang tular di media sosial tanpa tandatangan.
- Empat pemimpin Bersatu termasuk Wan Saiful dipanggil ke Jawatankuasa Disiplin parti berhubung pengumpulan SD, namun beliau menegaskan usaha itu melibatkan sokongan 120 Ketua Bahagian dan bukan tindakan individu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, menyifatkan dakwaan bahawa SD itu bertujuan mendesak Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai ‘naratif songsang’.
Media sebelum ini melaporkan empat ketua bahagian Bersatu termasuk Wan Saiful akan dihadapkan ke Jawatankuasa Lembaga Disiplin untuk tindakan tatatertib berhubung dakwaan berkenaan.
Selain Wan Saiful, tiga pemimpin Bersatu lain yang dipanggil ialah Ketua Bahagian Ampang, Mohd Isa Saidi; Ketua Bahagian Sepang, Datuk Suhaimi Mohd Ghazali; dan Ketua Bahagian Ipoh Timor, Muhammad Fadhli Ismail.
Mereka didakwa terlibat dalam pengumpulan SD dalam kalangan ketua bahagian Bersatu di seluruh negara bagi mengusulkan perbincangan mengenai langkah transisi kepimpinan parti kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata: “Niat kami hendak membersihkan nama baik kami bukan hanya dalam parti tapi juga kepada rakyat seluruh negara. Bila saya sebut 'kami', saya tak maksudkan kami empat orang saja, tetapi 120 orang KB yang bersama dalam usaha ini,” ujarnya lagi.
Wan Saiful berkata, sehingga hari ini, Muhyiddin dipercayai belum melihat SD yang sebenar.
Dalam pada itu, beliau turut menafikan bahawa SD mendesak Muhyiddin meletak jawatan yang tersebar di media sosial, tiada kaitan dengan SD yang dikumpulkan pihaknya.
“SD itu tiada tandatangan pun (dan) tak relevan,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami