Di sebalik dakwaan Parti Keadilan Rakyat sedang mengalami kemelut antara pemimpin, Presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kehadiran perwakilan dan pemerhati sekitar 80 peratus beri mesej jelas, bahawa mereka mahukan parti itu bersatu dan berpegang pada agenda reformasi.

Beliau berkata, sentimen itu jelas kelihatan di kalangan perwakilan bahawa mereka mahukan tahap disiplin yang tinggi, dan mesej itu akan beliau sampaikan kepada pimpinan yang sengaja tidak hadir dalam mesyuarat parti akan datang.

“Delegasi tegas menyatakan pandangan mereka, dan sentimen itu agak kuat, mahukan parti lebih bersatu dan lebih berdisiplin.

“Saya fikir saya akan sampaikan mesej ini kepada pimpinan, dan sudah semestinya saya juga akan mendengar pandangan yang tidak hadir ini dalam mesyuarat Biro Politik, mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat dan lain-lain yang berkaitan,” katanya kepada sidang media selepas selesai menggulung Kongres Nasional Keadilan 2019, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, di sini hari ini.

Hari terakhir kongres itu dicemari insiden ketidakhadiran pimpinan kanan Keadilan, termasuk Timbalan Presidennya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Naib Presiden Zuraida Kamaruddin dan Ali Biju, serta Ketua Wanita Nasional Keadilan Haniza Talha dan timbalannya Dr Daroyah Alwi.

Ditanya sekiranya Azmin dan kumpulannya berpotensi untuk dipecat seperti yang diminta beberapa perwakilan, Anwar berkata, perkara itu langsung tidak berbangkit.

“Ini hanya disuarakan oleh perwakilan tetapi tidak ada pimpinan yg bagi respons bersetuju, dan saya tidak ada masalah berbincang.

“Tetapi masalah yang disuarakan dengan kuat adalah sentimen mahukan parti bersatu, dan tidak bertolak ansur dengan mereka yang dianggap menyimpang dari disiplin,” katanya lagi.