Skip to main content

Politik

Alexander Nanta Linggi beri bayangan tidak pertahan kerusi Parlimen Kapit

Alexander Nanta Linggi
Alexander merupakan antara pemimpin kanan Sarawak paling berpengalaman di peringkat Persekutuan dan pernah memegang beberapa portfolio penting Kabinet. - Gambar/ Astro AWANI

KUCHING: Selepas hampir tiga dekad mewakili Parlimen Kapit, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memberi bayangan tidak akan mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

Beliau yang mewakili Parlimen Kapit sejak 1999 berkata, sudah tiba masanya untuk memberi peluang kepada barisan pemimpin muda menerajui kepimpinan di peringkat Persekutuan.

Alexander bagaimanapun tidak menolak kemungkinan untuk terus aktif dalam politik negeri menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.

Beliau menyatakan kesediaan untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), tertakluk kepada keputusan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

"Hasrat saya menyatakan perkara ini adalah untuk memberi laluan kepada orang muda. 

"Saya sudah ada rancangan (langkah seterusnya) yang disediakan sekiranya diperlukan," katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Majlis Tertinggi PBB, di sini, hari ini.

Menurut Alexander, sekiranya diberi peluang, kerusi yang akan ditandingi pada PRN dijangka masih berada dalam kawasan Parlimen Kapit.

Dalam masa sama, beliau turut membayangkan kemungkinan satu kerusi baharu diwujudkan di kawasan berkenaan pada masa hadapan.

“Kalau ada peluang mungkin ada tempat baharu… saya teringin jugalah kalau ada peluang sebab saya sudah hampir 30 tahun di Parlimen.

"Kalau ada peluang dan ada kebenaran daripada ketua-ketua parti mungkin saya ingin menyambung khidmat politik saya di peringkat negeri. Itu terpulang kepada ketua parti… di Kapitlah,” ujarnya.

Perkembangan itu mencetus spekulasi mengenai kemungkinan berlaku peralihan kepimpinan besar di Kapit, termasuk siapa bakal calon pelapis yang akan diketengahkan PBB dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada PRU16. 

Alexander merupakan antara pemimpin kanan Sarawak paling berpengalaman di peringkat Persekutuan dan pernah memegang beberapa portfolio penting Kabinet sebelum dilantik sebagai Menteri Kerja Raya.

Must Watch Video