SHAH ALAM: Parti Amanah Negara (Amanah) menangguhkan Konvensyen Nasional parti dijadualkan berlangsung hari ini berikutan banjir melanda Lembah Klang.

Setiausaha Agung Amanah, Dr Mohd Hatta Ramli berkata, tarikh baharu konvensyen tahunan yang sepatutnya berlangsung di Dewan Raja Muda Musa di Shah Alam itu akan ditetapkan kelak.

“Setelah meneliti keadaan terkini banjir melanda Selangor dan beberapa negeri di seluruh negara dan kesannya kepada ramai penduduk terlibat dan atas rasa solidariti dan kepedulian dengan semua mangsa dan rakyat.

"Maka dengan persetujuan kepimpinan parti dimaklumkan bahawa Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara 2021 ditetapkan hari ini, Ahad, 19 Disember 2021 ditangguhkan kepada tarikh dan tempat dimaklumkan kemudian.

“Kami memohon maaf di atas segala kesulitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Presiden Amanah, Mohamad Sabu turut mengarahkan semua jentera Amanah di semua peringkat untuk membantu mangsa banjir di seluruh negara khususnya di Selangor.

“Sebagai Presiden Amanah saya mengarahkan semua peringkat sayap parti terutama Pemuda, Wanita (Awan), Arief, Warda, kawasan dan negeri untuk turun segera membantu mangsa banjir di seluruh negara khususnya di Selangor.

“Konvensyen Amanah yang sepatutnya diadakan hari ini telah kita tangguhkan bagi mendahulukan perkara berkaitan kepentingan rakyat,” kata Mohamad dalam kenyataannya hari ini.

Konvensyen Amanah Nasional 2021 ini dijadualkan berlangsung di Dewan Raja Muda Musa di Shah Alam mulai pagi ini sehingga malam ini, manakala konvensyen Pemuda dan Wanita Amanah Nasional secara hibrid berakhir pada Sabtu.


Artikel asal di Sinar Harian