SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun akur dengan keputusan Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH) untuk mengekalkan kerjasama Kerajaan Perpaduan di negeri ini.
Beliau berkata akan meneruskan kepimpinan tersebut dan melaksanakan amanah yang diberikan sebaiknya demi kestabilan serta kesejahteraan rakyat.
"Saya menerima keputusan itu dan akan melaksanakan amanah tersebut...setelah dimaklumkan oleh Biro Politik PH-BN, kita bersama dan tiada masalah," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO, di sini, hari ini.
Ketua Setiausaha PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu kenyataan bersama semalam memaklumkan majlis itu juga bersetuju apa jua keputusan Kerajaan Negeri Sembilan yang boleh mencetuskan sebarang bentuk sensitiviti serta membuka ruang perselisihan perlu segera dirujuk kepada Majlis Perundingan Pimpinan UMNO-PH.
Kemelut pentadbiran negeri itu tercetus apabila kesemua 14 ADUN UMNO dan Barisan Nasional Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Aminuddin, sekali gus mewujudkan kekosongan empat jawatan EXCO.
Bagaimanapun, Aminuddin terus diberikan mandat untuk menerajui pentadbiran negeri itu selepas diperkenankan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Ditanya mengenai sama ada kekosongan jawatan itu akan dikembalikan kepada UMNO, Aminuddin berkata perkara itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat biro politik kedua-dua pihak semalam dan pihaknya akan mendapatkan maklumat tambahan daripada pucuk pimpinan.
Beliau turut menjelaskan beberapa tugas akan diagihkan kepada anggota Exco sedia ada bagi memastikan kelancaran pentadbiran.
Dalam pada itu, beliau juga menghormati keputusan ADUN Perikatan Nasional (PN) iaitu Mohamad Hanifah Abu Baker (ADUN Labu) dan Ridzuan Ahmad (ADUN Gemas) yang mengambil pendirian berkecuali dalam kemelut politik negeri ini bagi mengutamakan kepentingan negeri.
Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi DUN, dengan PH memenangi 17 kerusi, BN 14 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) lima kerusi pada Pilihan Raya Negeri ke-15 pada 2023. PH dan BN membentuk kerajaan selepas menguasai 31 kerusi DUN susulan pilihan raya itu.
Sementara itu, Aminuddin berkata pihaknya sedang menyiapkan beberapa perkara termasuk kertas kerja mengenai Rang Undang Undang (RUU) baharu sebelum menentukan tarikh persidangan DUN.
Menyentuh pertikaian lantikan Undang Sungei Ujong baharu Muhammad Faris Johari, beliau berkata pihaknya tidak mencampuri perkara tersebut yang merupakan perihal di peringkat adat.
Berkaitan saman pemula dikemukakan oleh Datuk Mubarak Thahak bersama-sama lima individu lain terhadap Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Raja Norazli Raja Nordin, DKU serta Kerajaan Negeri Sembilan sebagai defendan, Aminuddin berkata pihaknya menyerahkan kepada DKU untuk maklum balas serta tindakan selanjutnya.
Media melaporkan Mubarak dan lima individu lain memfailkan saman pemula itu bagi mendapatkan salinan minit mesyuarat Sidang Khas DKU Negeri Sembilan yang berlangsung pada 17 April lepas.
Selain Mubarak, lima lagi plaintif ialah Undang Luak Jelebu Datuk Maarof Mat Rashad, Undang Luak Johol Datuk Muhammed Abdullah, Undang Luak Rembau Datuk Abdul Rahim Yasin, Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Ibni Almarhum Tunku Syed Idrus Al-Qadri dan Shahbandar Sungei Ujong Datuk Seri Utama Badarudin Abdul Khalid.
Mengenai persediaan menghadapi pilihan raya negeri (PRN), Aminuddin yang merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri berkata pihaknya sentiasa bersiap sedia bagi memperkukuhkan jentera parti.
"Sekarang ini memang musim untuk pilihan raya, Melaka, Johor, Sarawak...kita juga akan bersedia (jika pilihan raya), kita kearah tersebut untuk memperkukuhkan jentera parti. Persiapan jentera ketika ini saya rasa sekitar 60-70 peratus," katanya.
-- BERNAMA