KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa siasatan berhubung dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) dari 2014 hingga 2020 dijalankan secara menyeluruh, telus dan tanpa sebarang kompromi.
Naib Ketua AMK Dr Mohammed Taufiq Johari berkata gesaan itu selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang mahu pihak penguat kuasa menjejak pesalah “sehingga ke lubang cacing” demi mempertahankan integriti institusi umat Islam tersebut.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani berkata selain pendedahan RCI bahawa dakwaan aset TH dijual kepada pihak bukan Islam adalah fitnah, fokus siasatan dan tindakan susulan perlu ditumpukan kepada tiga isu paling kritikal.
“Ia merangkumi kelemahan tadbir urus dan campur tangan politik, kelemahan pelaporan kewangan dan pengiktirafan kerugian serta agihan hibah yang tidak selari dengan kedudukan kewangan sebenar.
“RCI merekodkan penglibatan ahli politik dalam kedudukan kanan TH serta pengaruh pertimbangan politik dalam keputusan penting manakala bagi pelaporan kewangan 2017 contohnya, TH melaporkan keuntungan sekitar RM3.4 bilion sedangkan hakikatnya menunjukkan kerugian bersih RM1.4 bilion selepas pelarasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, jurang kewangan tersebut turut menyaksikan keputusan membayar hibah pada kadar tinggi dibuat ketika kedudukan kewangan TH berada di bawah tekanan sehingga menghakis rizab institusi itu.
Sehubungan dengan itu, AMK mendesak Pasukan Khas Penguat Kuasa yang dianggotai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan audit forensik secara mendalam bagi menjejak aliran wang serta mendakwa pihak bertanggungjawab atas kecurangan amanah.
Selain itu, Dr Mohammed Taufiq menggesa sidang khas Dewan Rakyat pada 11 Ogos menjadi medan perbahasan yang menyeluruh, berani dan telus berhubung salah tadbir urus tersebut.
“Pihak yang telah mengkhianati dan merosakkan institusi umat Islam itu tidak boleh lagi berselindung di sebalik kedudukan mahupun pengaruh politik, biar daripada parti mana sekalipun.
“Apa yang berlaku kepada TH bukan sekadar penyelewengan kewangan biasa, tetapi pengkhianatan terhadap amanah umat Islam,” katanya.
-- BERNAMA