IPOH: Anak bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datin Sri Rahayu Tajuddin dipilih sebagai Ketua Wanita UMNO Bahagian Pasir Salak yang baharu selepas menewaskan penyandangnya, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin sempena pemilihan UMNO bahagian itu pada Sabtu.

Dalam pada itu, Sri Rahayu turut berjaya memenangi jawatan Exco Wanita UMNO pusat apabila mendapat undi ketiga tertinggi dengan 320 undi.

Bagaimana pun Wan Norashikin yang merupakan Ketua Wanita UMNO Perak turut gagal mengekalkan jawatan Exco Wanita UMNO pusat apabila berada di tempat ke-49.

Bagi jawatan Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Pasir Salak, Noraini Bahari memenangi pemilihan kali ini sekalu gus menewaskan Suhaili Suib.

Keputusan itu turut menyaksikan pasukan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Khairul Azwan Harun tewas namun berbeza dengan keputusan pemilihan bagi Pemuda dan Puteri UMNO bahagian.

Jawatan Ketua Pemuda UMNO bahagian pula disandang muka baharu iaitu Mohd Yafiz Mustafa manakala Naib Ketua Pemuda UMNO bahagian dimenangi Mohd Farid Mohd Hayati.

Puteri UMNO bahagian juga menyaksikan penampilan muka baharu apabila Azuwa Sulaiman memenangi jawatan ketua manakala naib ketua disandang oleh Saila Mohd Saleh.

Pemimpin yang dipilih bagi sayap pemuda dan puteri itu merupakan sebahagian daripada pasukan diumum Khairul Azwan sebelum ini sempena pemilihan UMNO.

Pada 28 Februari lalu, Khairul Azwan yang akan bertanding Ketua UMNO bahagian itu mengumumkan pasukannya terdiri daripada calon timbalan ketua UMNO bahagian sehinggalah calon naib ketua Puteri UMNO bahagian.

Bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Khairul Azwan ditentang Dr Faizal Tajuddin yang merupakan anak sulung Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

- Sinar Harian