KUALA LUMPUR: Tan Sri Annuar Musa hari ini memberi indikasi bahawa mesyuarat perwakilan bahagian dan pemilihan UMNO untuk semua jawatan akan dilaksanakan pada September depan.

Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu berkata mesyuarat itu perlu diadakan bagi menepati peruntukan dalam perlembagaan parti.

“InsyaAllah bulan September, mesyuarat perwakilan bahagian dan pemilihan semua jawatan dalam parti akan diadakan menepati peruntukan dalam Perlembagaan UMNO.

"Melainkan ada ‘nawaitu’ dan jajaran pemikiran lain,” katanya menerusi satu perkongsian di Facebooknya pada Jumaat.

Ahli Parlimen Ketereh itu turut memaklumkan bahawa Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melalui suratnya bertarikh 10 Mei kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan telah memaklumkan bahawa parti itu boleh mengadakan mesyuarat dengan syarat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk bersidang secara maya.

“Beliau juga mencadangkan pemilihan iaitu UMNO menangguhkan sekejap sehingga keadaan mengizinkan.

“Ini bermakna apabila Parlimen diizinkan bersidang, maka UMNO juga boleh bersidang,” katanya.

Malah, dalam kenyataan itu, beliau turut menggesa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) memberikan ‘fatwa’ berkenaan mesyuarat perwakilan dan pemilihan UMNO secara adil dan telus. 

 
Sumber Facebook tansri.annuarmusa