POLITIK
Apa rancangan Shafie untuk pembangunan Sabah? - Norazlinah

Norazlinah berkata Hajiji telah memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuk pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya. - Gambar fail/Norazlinah Arif
KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak Datuk Norazlinah Arif mempersoalkan sama ada Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mempunyai pelan pembangunan yang jelas untuk Sabah.
Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap kritikan Mohd Shafie terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, termasuk dakwaan wujudnya rasuah dalam pentadbiran kerajaan negeri ketika ini.
“Dakwaan itu tidak berasas. Perbandingan antara pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan seharusnya dibuat berdasarkan pencapaian dalam mentadbir negeri,” katanya sebagai memetik laporan FMT.
Norazlinah berkata Hajiji telah memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuk pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, membangunkan ekonomi biru yang memanfaatkan sumber perairan negeri serta mengurus sektor minyak dan gas (O&G) dengan baik.“Pendekatan berteraskan rakyat amat kuat, ciri ini tidak dimiliki Mohd Shafie,” katanya.
Norazlinah meninggalkan Warisan pada 6 Februari 2023 susulan kegagalan ‘Langkah Kinabalu’ yang digerakkan Warisan dan UMNO untuk menjatuhkan pentadbiran Hajiji.
Dalam usaha merampas semula pentadbiran negeri menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, Mohd Shafie mengaitkan Hajiji dengan skandal perlombongan mineral di Sabah.
Bagaimanapun, Hajiji yang juga Pengerusi GRS menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut dan menegaskan beliau serta pentadbirannya tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan, menyifatkan dakwaan itu sebagai bermotifkan politik.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut membersihkan nama Hajiji daripada sebarang salah laku selepas mengambil keterangannya sebanyak dua kali secara berasingan.
Sementara itu, ADUN Banggi Datuk Mohammad Mohamarin berkata walaupun kerajaan GRS dilihat tidak banyak membuat kenyataan, namun berjaya menyelesaikan isu rakyat secara berkesan.
“Tidak seperti pihak tertentu yang hanya menggembar-gemburkan sesuatu isu tanpa pelaksanaan.
" Contohnya, masalah air di kawasan saya - permohonan telah lama dibuat, tetapi hanya kini tindakan penyelesaian jangka panjang dilaksanakan.
“Hajiji telah memberikan peruntukan besar untuk menaik taraf loji air, ini bukti paling jelas,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami