Azmin Ali dan sembilan lagi Ahli Parlimen umum sertai Bersatu

Dengan kemasukan Datuk Seri Azmin Ali dan sepuluh yang lain, jumlah Ahli Parlimen Bersatu dalam Dewan Rakyat menjadi 31 orang.

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini mengumumkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). | Astro Awani
KUALA LUMPUR:Menteri Kanan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta sembilan lagi Ahli Parlimen hari ini mengumumkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pengumuman itu dibuat di hadapan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan 5,000 perwakilan pada majlis Kongres Negara 2020 bertemakan Bersatu Untuk Malaysia di ibu negara, hari ini.

Turut menyertai beliau ialah pimpinan kanan Penggerak Komuniti Negara, NOW, Pemuda Negara, dan Wanita Muda Negara.

“Dengan penuh rasa ikhlas dan hati yang tulus, pada  petang yang keramat ini, saya dan ketumbukan dari Perlis hingga ke Sabah, sama ada Penggerak Komuniti Negara, Nation of  Women (NOW), Pemuda Negara, Wanita Muda Negara, dengan ini mengisytiharkan untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menyokong kepimpinan Yang Amat Berhormat Tan Sri (Muhyiddin Yassin) sebagai Perdana Menteri,” katanya lagi.

Selain Azmin, sembilan lagi Ahli Parlimen ialah Zuraida Kamaruddin (Ampang) dan Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Datuk Seri Rashid Hasnon (Batu Pahat), Ali Biju (Saratok) dan Willie Mongin (Puncak Borneo).



Beliau serta rakan-rakannya, turut menerima kad keahlian dari Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu, menandakan keahlian mereka adalah rasmi dengan serta-merta.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri menganggap peristiwa itu bukan sahaja bersejarah untuk dirinya, tetapi juga kepada Bersatu, dan Kerajaan Perikatan Nasional.

"(Peristiwa ini) bukan sahaja sejarah untuk saya, tapi juga untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia, apabila Azmin telah nyatakan dan berikrar untuk secara rasmi menjadi ahli kepada parti Bersatu yang saya pimpin hari ini.

"Terima kasih, dan tahniah saya ucapkan kepada beliau dan rakan rakan lain yang turut bersama sama , menyatakan keazaman dan tekad untuk sertai suatu gerakan politik yang agak penting dalam negara kita. iaitu parti Bersatu," katanya lagi