KOTA TINGGI: Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Panti, Alias Rasman, menerima suntikan semangat daripada bekas ADUN kawasan itu, Datuk Baderi Dasuki, ketika kempen memasuki fasa akhir.
Pertemuan itu berlangsung ketika mereka menikmati makan tengah hari di Restoran Nasi Ayam Baseh selepas selesai menunaikan solat Jumaat, hari ini.
Alias berkata, pertemuan bersama Baderi atau lebih mesra dikenali sebagai Tok Bad itu memberinya peluang untuk mendapatkan nasihat dan pandangan daripada tokoh berpengalaman yang pernah mewakili DUN Panti selama tiga penggal.
“Saya amat menghargai nasihat, pandangan dan kata-kata semangat yang diberikan Tok Bad demi melihat Panti terus maju dan berjaya.
“Saya turut memohon doa, restu serta tunjuk ajar beliau. Niat dan nawaitu saya tidak lain adalah untuk berkhidmat serta memperjuangkan kepentingan rakyat Panti,” katanya.
Menurut Alias, pengalaman luas Baderi dalam memahami keperluan serta aspirasi masyarakat setempat menjadi pedoman penting dalam meneruskan perjuangannya.
“Kata-kata semangat Tok Bad menjadikan saya semakin yakin bahawa dengan kerja keras dan sokongan rakyat, Panti boleh berjaya,” katanya.