KUALA LUMPUR: Parti Bersama mahu membawa pendekatan baharu dalam politik negara menerusi sistem yang memberi ganjaran kepada ahli berdasarkan usaha dan penyertaan mereka dalam aktiviti parti, kata bekas Ahli Parlimen Subang, Wong Chen.
Menurut beliau, pendekatan itu bertujuan mengurangkan pengaruh politik wang dan mengelakkan parti dikuasai individu tertentu yang mempunyai kedudukan atau sumber kewangan besar.
Katanya, model tersebut merupakan antara perkara yang membezakan Bersama daripada struktur politik tradisional yang lazimnya bergantung kepada pengaruh pemimpin atau ketua bahagian.
"Apa yang berbeza dalam Bersama berbanding parti lain ialah cara kami mengatur organisasi parti itu sendiri.
"Kami cuba memastikan parti tidak akan dikuasai oleh ketua-ketua bahagian atau individu yang masuk kemudian dan menggunakan wang untuk membeli pengaruh dalam parti," katanya dalam program Consider This yang disiarkan Astro AWANI pada Khamis.
Wong Chen yang menyertai Bersama selepas meninggalkan PKR minggu lalu berkata, parti itu sedang memperkenalkan sistem mata yang memberi penghargaan kepada ahli berdasarkan sumbangan mereka kepada organisasi.
Beliau menjelaskan antara aktiviti yang akan diberikan mata termasuk program gotong-royong, penyertaan dalam latihan atau ceramah serta usaha merekrut ahli baharu.
"Kalau sertai gotong-royong dapat mata, hadir latihan dapat mata, bawa masuk ahli baharu juga dapat mata.
"Ia satu sistem yang memberi ganjaran berdasarkan komitmen dan usaha, bukannya berasaskan wang atau hubungan dengan pemimpin tertentu," katanya.
Menurut beliau, pendekatan itu juga bertujuan membuka peluang kepada lebih ramai ahli untuk berkembang dalam parti berdasarkan rekod khidmat dan penglibatan mereka.
Selain itu, Wong Chen berkata Bersama turut memberi penekanan kepada ketelusan dalam pengurusan kewangan parti.
Beliau menjelaskan parti itu mahu bergantung kepada sumbangan ahli sebagai sumber utama pembiayaan dan mengurangkan kebergantungan kepada penyumbang besar atau individu berpengaruh.
"Dalam bentuk paling mudah, jika kita ada 30,000 ahli dan setiap seorang menyumbang RM100 setahun, parti sudah boleh memperoleh sekitar RM3 juta setahun.
"Ini membolehkan parti beroperasi tanpa perlu bergantung kepada mana-mana individu kaya atau pihak yang mungkin mempunyai kepentingan tertentu," katanya.
Beliau berkata model pembiayaan seperti itu penting bagi memastikan keputusan dan dasar parti tidak dipengaruhi oleh golongan tertentu.
Menurut Wong Chen, matlamat jangka panjang Bersama adalah membina sebuah parti yang memberi peluang kepada ahli untuk muncul sebagai pemimpin berdasarkan prestasi dan komitmen mereka, bukannya kemampuan berbelanja atau mengumpul pengaruh dalaman.
"Yang kami mahu ialah sistem yang memberi ganjaran kepada ahli yang bekerja kuat dan berkhidmat kepada masyarakat.
"Dari situ mereka boleh berkembang menjadi calon pilihan raya, wakil rakyat atau pemimpin parti berdasarkan merit," katanya.
Mengulas penubuhan Bersama, Wong Chen berkata parti itu lahir daripada kekecewaan sekumpulan pemimpin reformis terhadap hala tuju agenda perubahan yang diperjuangkan selama ini.
Menurut beliau, ramai pengasas Bersama sebelum ini merupakan antara individu yang terlibat secara langsung dalam merangka dasar serta agenda reformasi ketika berada dalam PKR, termasuk Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.
"Bagi saya, Bersama mengingatkan saya kepada PKR ketika saya mula menyertainya pada 2009.
"Ia masih membawa idea yang sama, politik berbilang kaum, progresif dan berteraskan reformasi," katanya.
Beliau berkata, matlamat Bersama bukan sekadar menubuhkan sebuah parti baharu tetapi membina budaya politik yang lebih telus, berteraskan dasar serta mengurangkan pengaruh wang dalam proses membuat keputusan.
Rafizi sebelum ini menjelaskan penubuhan Bersama bertujuan menawarkan alternatif politik yang lebih berasaskan dasar, tadbir urus dan reformasi institusi, selain membentuk budaya politik baharu yang mengurangkan kebergantungan kepada politik wang dan pengaruh individu tertentu.
Bersama diasaskan oleh Rafizi dan Nik Nazmi selepas kedua-duanya meninggalkan PKR awal tahun ini.
Wong Chen menyertai parti itu selepas mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen Subang dan keluar daripada PKR selepas lebih 17 tahun bersama parti berkenaan.