Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengenakan tindakan terhadap mana-mana ahli yang membuat pengumuman yang menjejaskan imej parti dan Pakatan Harapan (PH).

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata bahawa disiplin perlu wujud dalam partinya dan ahli-ahli khususnya dalam Majlis Presiden dan Majlis Tertinggi di mana terdapat ahli yang mengeluarkan kenyataan bahawa PH akan kalah sekiranya pilihan raya umum diadakan.

Dr Mahathir berkata tindakan ahli parti tersebut secara tidak langsung merosakkan imej PH yang sedang berusaha membaik pulih negara selepas mengambil alih tampuk kepimpinan pada tahun lalu.

“Ahli-ahli yang pegang jawatan perlu berhati-hati dalam membuat pengumuman dan kenyataan. Kalau mereka membuat pengumuman yang merosakkan imej parti, maka tindakan akan diambil terhadap mereka.

“Kami akan adakan penyelidikan dan kemukakan kepada Majlis Disiplin dan kemudiannya membuat laporan kepada Majlis Tertinggi untuk diambil tindakan seperti yang dicadangkan,” kata Dr Mahathir pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di Yayasan Kepimpinan Perdana pada Khamis.


Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata ia tidak bermakna Bersatu tidak memberikan kebebasan kepada ahlinya untuk menyuarakan pendapat.

“Ahli-ahli boleh memberi ulasan tetapi jangan kata parti ini akan kalah. Kenyataan tersebut merosakkan imej parti,” katanya.

Apabila ditanya sama ada beliau merujuk kepada kenyataan oleh Ketua Dasar dan Strategi Bersatu, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff di sebuah forum di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada Rabu, beliau menjawab terdapat kemungkinan.

Pada Rabu, Rais berkata pada forum ‘Pilihan Raya-Pilihan Raya Kecil Pasca PRU-14: Implikasi pada PRU-15’ bahwa PH bakal berdepan dengan kekalahan dalam melawan UMNO-Pas jika pilihan raya umum diadakan dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai jawatan ‘pakar strategi’ dalam parti Bersatu dan berkata tiada jawatan sebegitu dalam partinya.

“Kami tidak ada pakar strategi dalam parti kami.

“Saya tidak tahu siapa yang melantik siapa.

“Itu bukan lantikan rasmi. Itu gelaran yang diberikan oleh diri sendiri,” tambahnya.