KEPALA BATAS: Jawatankuasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kepala Batas dan Tanjong dibubarkan secara rasmi dalam satu sidang akhbar yang diadakan di sini pada Isnin.
Ketua Bersatu Bahagian Kepala Batas, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq berkata, keputusan tersebut dicapai secara bersama oleh kepimpinan kedua-dua bahagian selepas menilai kedudukan semasa parti di peringkat pusat.
Advertisement
Menurutnya, langkah itu dibuat susulan hilangnya keyakinan akar umbi terhadap keupayaan kepimpinan pusat mengurus parti secara strategik dan inklusif.
"Keputusan ini dibuat secara kolektif dan bukan atas dorongan emosi," katanya pada sidang akhbar di sini pada malam Isnin.
Sidang akhbar tersebut turut dihadiri Ketua Bersatu Bahagian Tanjong, Hafizah Md Taib bersama kira-kira 50 ahli termasuk barisan jawatankuasa Armada dan Srikandi dari kedua-dua bahagian.
Beliau mendakwa, krisis keyakinan terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin kini berada pada tahap membimbangkan sehingga mendorong mereka mengambil keputusan meletakkan jawatan dan keluar parti secara beramai-ramai.
"Situasi semasa menunjukkan lebih dua pertiga ketua bahagian dan hampir tiga perempat ahli Parlimen Bersatu di seluruh negara dilihat menyokong Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
"Perkembangan itu menjadi petunjuk jelas bahawa masalah dalaman parti bukan lagi isu terpencil sebaliknya membabitkan kepercayaan meluas terhadap kepimpinan tertinggi," ujarnya lagi.
Difahamkan, jumlah keahlian berdaftar Bersatu di Kepala Batas dan Tanjong ketika ini melebihi 2,500 orang.
Mengulas lanjut, Khaliq yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam percaya beberapa lagi bahagian Bersatu di Pulau Pinang sedang mempertimbangkan tindakan sama dalam masa terdekat.
Bagaimanapun katanya, sebarang pengumuman bergantung kepada keputusan kepimpinan bahagian masing-masing.
Sebelum ini, media melaporkan dua bahagian Bersatu di Larut dan Lembah Pantai telah membubarkan jawatankuasa masing-masing susulan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti.
Dalam perkembangan berkaitan, sebahagian jawatankuasa Bersatu Bahagian Balik Pulau dilaporkan mengadakan sidang akhbar bagi menyatakan pendirian mereka namun perkara itu dinafikan oleh pimpinan bahagian berkenaan. - Sinar Harian