PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan melakukan persiapan sewajarnya memandangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka sudah dibubarkan.

Ini termasuk mengatur strategi untuk menggerakkan seluruh kekuatan jentera akar umbi parti bersama parti-parti komponen Perikatan Sasional (PN) lain di peringkat negeri.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, beliau dimaklumkan mengenai perancangan dan kerjasama bersama parti-parti komponen lain oleh Ketua Badan Pimpinan BERSATU Negeri Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

"Mohd Rafiq yang juga Pengerusi PN Negeri dan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya PN Negeri memaklumkan, BERSATU dan parti-parti komponen lain akan terus meningkatkan program-program outreach sedia ada di kerusi-kerus DUN Melaka.

"Ia termasuk menyantuni rakyat melalui inisiatif Gerai Prihatin Rakyat yang mendapat sambutan baik daripada rakyat Melaka," kata Hamzah dalam kenyataannya pada Jumaat. 

Katanya lagi, rundingan kerusi di antara semua parti komponen PN akan dimuktamad dalam masa terdekat.

Kenyataan media oleh Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkaitan persediaan parti hadapi PRN Melaka

Sebelum ini Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dijangka mengadakan satu mesyuarat khas berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Isnin depan.

BACA: PRN Melaka: Pengumuman besar SPR Isnin ini?