KUALA LUMPUR: Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan bermesyuarat pada petang Sabtu bagi membincangkan kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden parti itu.

Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, mesyuarat itu dijangka berlangsung pada jam 6.30 petang di Taman Melewar.

"Buat masa ini kita belum lagi bincang dan buat keputusan berhubungan kedudukan Tan Sri Muhyiddin.

"Kita akan adakan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu sebaik sahaja selesai mesyuarat Armada.

"Mungkin selepas itu (media) boleh tanya (ketetapan) sebaik selesi mesyuarat," katanya pada sidang akhbar selepas selesai menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Agung Tahunan Armada di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu telah membuat perbincangan atau ketetapan supaya Muhyiddin kekal sebagai Presiden.

Pada Jumaat, Muhyiddin dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini atas enam pertuduhan kes rasuah berjumlah RM232.5 juta dan pengubahan wang haram sebanyak RM195 juta.

Beliau didakwa sebagai seorang pegawai badan awam, iaitu Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu, telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu iaitu Azman Yusoff, 51 dan tiga syarikat, Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd serta Mamfor Sdn Bhd, bagi sekutu parti itu, antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Bekas Perdana Menteri itu menjadi pemimpin Bersatu ketiga didakwa di mahkamah ini atas tuduhan jenayah, selepas bekas Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad.

Pada 21 Februari lalu, Wan Saiful didakwa di mahkamah ini, atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu. Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah.

Pada hari sama, Adam Radlan dituduh atas dua pertuduhan termasuk menerima rasuah RM500,000 membabitkan projek Jana Wibawa. - Sinar Harian