KUALA LUMPUR:Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menafikan dakwaan parti itu cuba 'membeli' atau 'mencuri' ahli UMNO sehingga sanggup membayar sehingga RM5,000 bagi penubuhan cawangan parti berkenaan.

Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan menegaskan, perkara itu adalah tidak benar sama sekali selain menyifatkan ia adalah tuduhan liar tanpa bukit yang kukuh.

Sehubungan itu, beliau menggesa Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki tampil memohon maaf dan menarik balik tuduhan tersebut.

"Saya memandang berat tuduhan Asyraf Wajdi bahawa Bersatu mencuri dan membeli ahli-ahli UMNO.

 
Sumber Facebook wansaifulwanjan

"Tindakan beliau menyebut 'setiap yang menyertai Bersatu dibayar sehingga RM100, setiap cawangan yang ditubuh diperuntukkan RM3,000 hingga RM5,000' tidak dapat diterima sama sekali.

"Saya dengan tegas menafikan tuduhan liar tanpa bukti ini (dan) menuntut Asyraf Wajdi memohon maaf dan menarik balik tuduhan tersebut serta-merta," katanya dalam kenyataan yang dalam akaun Facebooknya di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, beliau akan berbincang dengan pihak parti mengenai kesesuaian mengambil tindakan undang-undang dalam hal berkenaan.

Terdahulu, Asyraf Wajdi mendesak Bersatu agar menghentikan segera sebarang usaha untuk bersaing ahli di antara satu sama lain jika mahu meneruskan kerjasama dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, tindakan itu tidak dapat memberi jaminan kerjasama kedua parti berkenaan akan kekal sekiranya perkara sedemikian masih berlaku.

BACA: Henti segera 'curi', 'beli' ahli UMNO jika mahu terus bekerjasama - Asyraf Wajdi