TAMBUN: Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak membincangkan kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sebaliknya, mesyuarat itu, kata Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, membincangkan persiapan untuk menghadapi pilihan raya di samping masalah kos sara hidup dan masalah harga makanan yang tinggi.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Bersatu berkata, mesyuarat itu juga berbincang mencari jalan bagaimana hendak membantu kerajaan menangani masalah rakyat.

“Kami (Bersatu) tak ada bincang tentang kedudukan Perdana Menteri… kami menyokong Perdana Menteri sedia ada dan kami mahukan satu kerajaan yang stabil yang boleh memberi fokus kepada masalah rakyat, bukannya kepada masalah peribadi, bukan kepada masalah politik.

“Masalah rakyat perlu diutamakan, itu yang telah kami bincangkan. Kalau ada ura-ura berkenaan berbincangan lain, itu bohong,” kata Ahmad Faizal.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas merasmikan Surau Al-Faizin Sekolah Kebangsaan Pasukan Polis Hutan di  sini, pada Isnin.

Menurutnya, Bersatu tidak membincangkan soal politik, sebaliknya sentiasa memikirkan mengenai masalah rakyat.

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan mesyuarat MPT Bersatu pada 8 Jun lalu antara lain
membincangkan kedudukan Perdana Menteri, sekiranya Bersatu mendapat sokongan daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Pakatan Harapan (PH).