MIRI:Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini mendedahkan sikap sesetengah pemimpin dari Sarawak pada era Pakatan Harapan yang “takut bos” dan “menikus” apabila berunding tentang hak Sarawak.

Berucap sewaktu Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Pusat Kebudayaan Orang Ulu, di sini pada Selasa, Abang Johari memberitahu, ia berlaku ketika pihaknya berunding untuk melaksanakan cukai jualan negeri (SST) untuk minyak dan gas di Sarawak.

“Ketika memulakan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan, perkara pertama yang diutarakan oleh Menteri Kewangan ketika itu (Lim Guan Eng), kenapa Sarawak perlu laksanakan cukai jualan lima peratus?

“Beliau (Guan Eng) berkata, perkara itu akan menyebabkan kos untuk pelaburan dalam industri minyak dan gas meningkat.

“Sarawak tidak boleh menguatkuasakan cukai tersebut," jelasnya.

Rundingan tersebut katanya lagi, turut dihadiri Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Datuk Gerawat Gala dan Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Sarawak-Persekutuan dan Pemantauan Projek Datuk Sharifah Hasidah Sayed Aman Ghazali.

Kata Abang Johari lagi, ketika rundingan itu berlangsung, beliau secara terus menjelaskan bahawa pelaksanaan cukai jualan negeri adalah hak Sarawak di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Ia terpulang kepada kami untuk menentukannya. Tetapi sekarang kita tetapkan lima peratus!" tegasnya.

Berkaitan dengan kenaikan kos dalam pelaburan, kata Abang Johari, jika ia (kos) meningkat, Kerajaan Persekutuan perlu mengurangkan Cukai Pendapatan Petroleum (PITA).

“Jadi ia kembali kepada asal. Anda tidak boleh nafikan hak kami. Akhirnya mereka terus terdiam,” tambahnya lagi.

Abang Jo yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, ia realiti yang berlaku dan beliau terpaksa mendedahkan perkara sebenar dalam majlis itu.

“Anak Sarawak yang ada di sebelah sana tidak berani menyokong saya. Diam sahaja. Takut dengan bos.”

Tambahnya lagi, selepas rundingan tersebut, kerajaan negeri mengambil keputusan menyaman syarikat minyak dan gas, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) di mahkamah.

“Akhirnya kita menang dalam mahkamah bicara.”

Dalam ucapan tersebut, beliau turut berterima kasih kepada kerajaan pusat di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana sanggup berlapang dada dalam rundingan susulan.

“Kita berunding dan akhirnya apa yang terjadi ialah perjanjian komersial yang dimeterai pada minggu lalu.

“Kini, kita terbabit dalam aktiviti minyak dan gas onshore dan offshore  di Sarawak,  dan ini memberi tambahan hasil kepada Bumi Kenyalang,” ujarnya lagi. 

BACA: Perjanjian Sarawak-Petronas bakal rancakkan pembangunan industri petroleum - PM

Jelasnya, usaha ini bukan untuk beliau seorang tetapi untuk seluruh rakyat Sarawak.

“Kita beruntung kerana kita mampu melakukan ini kerana kita berdiri sendiri di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya lagi.