Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen P 189 Semporna, Datuk Ramlee Marahaban menegaskan parti itu mempunyai pelbagai iltizam untuk penduduk yang menetap di perkampungan atas air di daerah tersebut di masa hadapan.

Beliau berkata, BN mempunyai perancangan efisien bagi membangunkan kawasan itu yang sudah termaktub dalam pelan manifestonya seiring dengan pembangunan mapan untuk merealisasikan harapan menjadikan Semporna sebagai Majlis Perbandaran suatu hari nanti.

"Oleh itu, saya minta pengundi di kawasan itu memilih BN dan tidak terpedaya dengan pembangkang.

"Saya berkeyakinan sesuatu yang positif untuk BN apalagi saya telah menggariskan perancangan untuk perkampungan air di Semporna," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam kempen jelajahnya di Kampung Perigi, Bugaya, hari ini.

Untuk rekod, Ramlee akan berentap dalam pertembungan empat penjuru bagi merebut kerusi Parlimen P 189 Semporna termasuk menentang penyandangnya sebelum ini Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan).