KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) mengulangi sokongan mereka terhadap Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan kestabilan politik negara sekali gus menjadikan Malaysia sebagai negara yang stabil di pentas antarabangsa.

Kenyataan tersebut dibuat selepas terdapat spekulasi di media sosial yang dilihat cuba mengugat kestabilan melalui usaha ancaman dan gugatan yang bertujuan melihat lanskap politik negara terus berantakan.

"Negara kita memerlukan sebuah kerajaan yang stabil untuk membangunkan semula agenda pembangunan, pertumbuhan dan pemacuan negara dalam menghadapi cabaran global yang semakin kompleks.

"Asas kestabilan perlu dipertahankan oleh segenap lapisan rakyat Malaysia," kata Setiausaha Agung BN Datuk Seri Zambry Abd Kadir dalam satu kenyataan pada Jumaat malam.

BN juga menyeru kepada semua pihak untuk memberi fokus kepada agenda membangunkan negara dan menolak sebarang bentuk politik gugatan.

Mengulas lanjut, Zambry berkata BN tetap bersama dengan aspirasi rakyat untuk melihat sebuah negara yang aman dan stabil, dipimpin oleh seorang Perdana Menteri yang disepakati oleh semua parti yang membentuk kerajaan atas asas Kerajaan Perpaduan seperti yang dihendaki oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

BN juga menekankan bahawa Malaysia perlu muncul semula di pentas antarabangsa bagi membina keyakinan pelabur dan masyarakat antarabangsa.

Justeru, tegas Zambry, sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan sangat penting untuk mencapai matlamat tersebut.