Barisan Nasional (BN) berjaya merampas semula kerusi tradisinya di Semenyih apabila calonnya Zakaria Hanafi mendapat 19,780 undian.

Zakaria berjaya mendapat 1,914 undi majoriti mengalahkan calon Pakatan Harapan (PH) yang mendapat sebanyak 17,866 undian dalam pertarungan sengit itu.

Dua lagi calon, Kuan Chee Heng (Bebas) sekadar meraih 725 undi manakala calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Nik Aziz Afiq Abdul menerima 847 undi.

Keputusan rasmi itu diumumkan Pegawai Pengurus PRK Semenyih, Datuk Mohd Sayuthi Bakar di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) pada Sabtu.

“Dengan ini saya mengisytiharkan bahawa Zakaria Hanafi dariapda Barisan Nasional telah dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri bagi bahagian negeri N24 Semenyih,” katanya.



Menurut Sayuthi, jumlah peratusan keluar mengundi pada PRK Semenyih meningkat kepada 73.24% berbanding beberapa PRK yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tahun lalu.

PRK Semenyih diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57 tahun, yang merupakan Ketua Bersatu Bahagian Hulu Langat pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.

Pada PRU14, Bakhtiar memenangi kerusi DUN Semenyih dengan 8,964 undi majoriti mengalahkan tiga calon lain daripada BN, PAS dan PSM.

Sebelum itu, Semenyih merupakan kubu kuat BN sejak kerusi itu pertama kali dipertandingkan pada 1959.